Sehubungan itu, Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengarahkan supaya semua parit dan tali air dibersih dan diselenggara bagi memastikan aliran keluar air lancar.
"Kami turut menjangkakan cuaca hujan lebat sebegini akan berterusan buat beberapa ketika," kata pengerusinya Zaidy Abdul Talib berkata pada sidang media di pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, di sini petang ini.
Beliau berkata pemaju perumahan di sekitar daerah ini telah diarah memastikan keadaan parit di kawasan tapak pembinaan masing-masing diselenggara dengan betul.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor Shamsul Shahril Badlisza Mohd Noor berkata sehingga petang ini seramai 163 mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"Buat masa ini seramai 950 mangsa banjir daripada 212 keluarga masih lagi berada di lima buah pusat penempatan di daerah ini," katanya.
Pada Rabu, Majlis Keselamatan Negara mengisytiharkan banjir di daerah itu pada tahap satu berikutan mangsa banjir yang terlibat melebihi 400 orang.