Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memuji rakan sejawatannya Lee Hsien Loong kerana berkongsi matlamat dan bersama merealisasikan festival 'Titian Budaya' itu sempena menyambut ulang tahun ke-50 hubungan dua hala.
"Saya percaya program Titian Budaya ini memberi makna baharu kepada hubungan yang khusus berkait dengan sejarah lama yang dikongsi bersama.
"...Saya berpendapat kedua-dua negara ini telah mencapai tahap pertumbuhan dan pembangunan sehingga kepada tahap kita kini mampu menghargai perkara-perkara unik yang canggih dan kaya yang terdapat dalam kedua-dua masyarakat ini," katanya semasa merasmikan festival tersebut bersama Lee di sini Jumaat.
Dalam melahirkan penghargaan, Lee menyifatkan hubungan antara Malaysia dan Singapura sebagai kukuh dan berkata hubungan antara kedua-dua negara itu akan sentiasa akrab.
"Hubungan antara Malaysia dan Singapura diibaratkan seperti pepatah Melayu 'Bagaikan aur dengan tebing'," katanya.
Lee, yang berada di ibu negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Berkaitan hujung minggu ini, berkata banyak projek pembangunan telah dilaksanakan oleh kedua-dua negara dan ada projek dalam perancangan seperti projek kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Festival selama tiga bulan itu dihoskan bersama oleh kedua-dua negara dengan menampilkan program kebudayaan melibatkan 400 artis Singapura dan Malaysia serta profesional yang kreatif.