suria

Asean Perlu Terus Perangi Ekstremisme, Berjuang Untuk 'Masa Depan Dunia'

Tun Abdullah Ahmad Badawi
KUALA LUMPUR: Kesederhanaan adalah satu 'nilai pilihan' di rantau Asean, tetapi ia masih perlu memerangi ekstremisme melalui kerjasama antarabangsa, kata Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas perdana menteri itu berkata, walaupun Asean mungkin tidak dapat untuk menyelamatkan semua orang daripada cengkaman ekstremisme, organisasi itu harus terus berjuang untuk 'masa depan dunia'.


"Kita di Asean tidak kebal daripada musuh nombor satu keganasan dan ekstremisme yang dibuktikan dengan beberapa kejadian serantau, tetapi kita tidak boleh melepaskan masa depan kita kepadanya.

"Kita mesti memilih untuk memperjuangkan nilai-nilai kita sebagai masyarakat yang memegang kemurnian," katanya.

Abdullah berkata Asean tidak boleh membenarkan serangan di Paris berlaku di rantau ini atau di mana-mana bahagian lain di dunia.

"Kita mesti berdepan dan mengalahkan keganasan.

"Kita tidak boleh membenarkan keganasan menentukan nilai teras dan menentukan pandangan dunia kita, kerana jika perkara itu berlaku, maka pengganas akan menang," kata Abdullah dalam ucapan penutup pada sidang kemuncak Pemimpin Muda Asean, Jumaat.

Abdullah berkata memandangkan Asean mempunyai komuniti Islam terbesar di dunia, adalah menjadi tanggungjawab di rantau ini untuk 'menunjukkan jalan melalui contoh dan komitmen'.

"Usaha kita adalah berpanjangan dan mestilah berkekalan, oleh itu kerjasama antarabangsa perlu menjadi perkara biasa dan bukan pengecualian," katanya.

Artikel Lain