suria

Reman Pemandu Lori Kes Mayat Tanpa Kepala Disambung Tujuh Hari Lagi

Mahkamah Majistret pada Jumaat melanjutkan tahanan reman selama tujuh hari lagi ke atas seorang pemandu lori bagi meneruskan siasatan berikutan penemuan mayat seorang lelaki tanpa kepala di dalam longkang pada 13 November lepas. - fotoBERNAMA

TELUK INTAN: Mahkamah Majistret di sini Jumaat melanjutkan tahanan reman terhadap seorang pemandu lori yang disyaki terlibat dalam satu kes bunuh seorang lelaki yang ditemui tanpa kepala di Jalan Kampung Batu 4, Slim River, selama tujuh hari lagi.

Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria memerintahkan tahanan reman suspek lelaki berusia 35 tahun itu disambung bermula dari hari ini sehingga 26 November, bagi membantu siasatan kes pembunuhan lelaki tanpa kepala itu.

Sebelum ini, mahkamah sama memerintahkan suspek ditahan reman selama seminggu yang berakhir pada Jumaat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah dengan berpakaian lokap diiringi beberapa anggota polis pada pukul 8.50 pagi dan kemudian keluar meninggalkan mahkamah dua jam kemudian.

Mayat K. Ganesan, 50, beralamat terakhir di 136, Taman Slim Indah, Slim River ditemui dalam keadaan tanpa kepala di dalam longkang kira-kira 2.10 pagi, 13 November lepas.

Susulan penemuan mayat itu, polis menahan pemandu lori itu di rumah bapanya di sebuah kampung di Gerik pada hari yang sama.

Sebilah parang panjang kira-kira 0.8 meter dan satu beg silang mengandungi sebilah pisau panjang kira-kira 0.15 meter turut ditemui.

Selain itu, polis menemui satu guni plastik makanan anjing warna merah dan kuning, dan di dalamnya terdapat satu plastik sampah warna hitam mengandungi kepala manusia yang disyaki kepala mangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Orang Ramai Serbu Ikea Cheras

Artikel Lain