suria

Sekolah Manek Urai Persiap Murid Hadapi Banjir

KUALA KRAI: Irfan Aiman Abdul Rahman yang baru berusia sembilan tahun ini mula belajar bagaimana untuk menghadapi kemungkinan banjir yang akan berlaku pada bulan depan.

Pada hari terakhir persekolahan semalam, dia dan rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan Manek Urai bersama dengan guru mereka memindahkan meja, kerusi dan perabot lain dari tingkat bawah ke tingkat dua sekolah berkenaan.

"Kami buat ini kerana mungkin banjir lagi tahun ini," kata Irfan semasa memindahkan sebuah meja ke tingkat atas bersama murid lain.

Ketika banjir Disember tahun lepas, keadaan  sangat teruk di Manek Urai sehingga paras air di sekolah berkenaan yang dijadikan sebagai pusat pemindahan mangsa banjir mencecah sehingga ke tingkat tiga sekolah itu.

Sekolah berkenaan rugi hampir kesemua perabotnya rosak disebabkan oleh banjir.

Guru besar baru sekolah itu, Muzli Mustapha membuat keputusan pada tahun ini mereka tidak akan mensia-siakan peluang yang ada.

Muzli mengarahkan guru dan murid untuk memindahkan kesemua perabot ke tingkat lebih tinggi.

"Saya mahu murid-murid bersedia dari segi mental mereka untuk menghadapi banjir.

"Dengan memindahkan meja dan kerusi ke tingkat atas, saya harap ini akan bantu tanamkan dalam diri mereka tentang tanggungjawab juga berdikari dan buat semampu mereka untuk mengurangkan  kerosakan jika berlaku banjir.

"Disebabkan mereka melakukan secara bersama-sama, saya harap ia akan menggalakkan semangat kerjasama dan bersatu hati.

"Ini juga antara ilmu yang mereka boleh guna di rumah juga jika berlaku banjir. Kami belajar dari pengalaman tahun lepas dan akan memperbaikinya," katanya ketika ditemubual.

Walaupun banjir besar yang berlaku dan ramai murid hilang tempat tinggal, namun ada berita gembira di sekolah itu apabila empat daripada 66 murid mendapat keputusan semua Gred A dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Muzli berkata hanya tiga orang murid yang dapat 5A dan seorang lagi 4A tahun lepas.

"Walaupun banjir, murid-murid lakukan yang terbaik pada kali ini," jelas Muzli yang sedang menyambung pengajian Doktor Falsafah dalam pembangunan sekolah.


Manek Urai

Artikel Berikut

Artikel Lain