suria

Kerajaan Cadang Keluarkan Lesen Kepada Pengumpul Bahan Kitar Semula

Abdul Rahman Dahlan.

PORT DICKSON: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bercadang mengeluarkan lesen kepada syarikat dan orang-orang pesendirian yang mengumpul bahan kitar semula, bagi memudahkan kerajaan mengumpul data berkaitan aktiviti kitar semula.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, usaha itu bukan untuk menyusahkan mereka yang terlibat dalam industri kitar semula, tetapi ia penting untuk membolehkan kerajaan menggubal dasar yang lebih tepat pada masa depan.

Katanya, kerajaan bercadang menguatkuasakan lesen itu pertengahan tahun depan dan sekiranya ada bayaran untuk lesen berkenaan, ia sangat minimum.

"Pengumpul kitar semula ini adalah ejen yang amat penting dalam menguruskan sisa pepejal dan kita berminat untuk melesenkan (aktiviti) mereka supaya kita dapat maklumat dan mewajibkan kepada mereka untuk memberikan maklumat.

"Maksudnya, bila kumpulkan kitar semula pada hari itu, mereka kena timbang dahulu, dan menghantar statistik kepada jabatan yang berkaitan di bawah KPKT," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran dan perasmian Tapak Pelupusan Sanitari Bersepadu "Solid Waste Modular Advance Recovery and Treatment Systems (SMART) Cypark Resources Bhd (Cypark), di Ladang Tanah Merah dekat sini.

Dalam majlis itu, Abdul Rahman turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian konsesi di antara Cypark dengan kerajaan pusat.

Dokumen perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Cypark, Datuk Daud Ahmad bagi pihak Cypark dan Ketua Setiausaha KPKT Datuk Mohammad Mentek bagi pihak kerajaan.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 38,000 tan sampah sehari dan ia dijangka meningkat dari semasa ke semasa.

"Kalau kita tidak ambil tindakan untuk urus sisa pepejal ini, kita akan sampai ke tahap semua tapak-tapak pelupusan di negara kita ini tidak boleh lagi menampung pembuangan sampah ke tapak-tapak pelupusan sampah.

"Kebanyakan tapak-tapak pelupusan sampah di negara kita ini masih lagi yang bukan sanitari dan ia memerlukan belanja yang besar untuk ditukar menjadi sanitari ataupun ditutup selamat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan membelanjakan RM2 bilion setahun untuk menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Sementara itu, Daud berkata, melalui perjanjian antara Cypark dan KPKT, ia membolehkan syarikat itu untuk mereka bentuk, membina dan mengendalikan kemudahan sisa SMART menggunakan dana pembiayaan swasta.

"Projek SMART itu akan menyaksikan aliran yang stabil sisa pepejal perbandaran dari Seremban, Nilai, Port Dickson, Rembau dan Pajam dalam tempoh 25 tahun akan datang.

"Ini akan membawa kepada usaha melahirkan 350 peluang pekerjaan hijau secara langsung dan tidak langsung," katanya. 

Daud berkata, projek SMART, yang mula menerima sisa pada Isnin lepas, adalah projek pengurusan perintis sisa ladang hijau di negara ini di bawah skim Kerjasama Swasta Awam kerajaan yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan Inisiatif Pembiayaan Swasta. - Bernama

Artikel Lain