suria

Nurul Izzah Perlu Lebih Sensitif Soal Keselamatan, Kedaulatan - Pemuda Umno Sabah

Gambar Nurul Izzah (kiri) bersama Jacel Kiram yang mengundang kontroversi.

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Umno Sabah mahu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersikap lebih sensitif dalam hal keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di negeri ini. 

Ketua Pemuda Umno negeri, Yamani Hafez Musa berkata, tindakan Nurul Izzah bertemu Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu Jamalul Kiram III itu, sepatutnya tidak dilakukan. 

Yamani Hafez berkata, tindakan tidak bertanggungjawab anggota Parlimen Lembah Pantai itu jelas mengguris perasaan keluarga mangsa pencerobohan yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu termasuk keluarga Bernard Then Ted Fen, mangsa culik yang dipenggal kepalanya oleh kumpulan Abu Sayyaf. 

"Nurul Izzah harus sensitif terhadap soal keselamatan dan kedaulatan negara kerana perkara ini serius dan tidak boleh dipermainkan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung tindakan Nurul Izzah itu di Ibu Pejabat Polis daerah Kota Kinabalu di sini, Sabtu. 

Jacel memuat naik empat keping gambar bertarikh 9 Nov dalam akaun facebook beliau yang memaparkan pertemuan dengan Nurul Izzah. 

Pemuda Umno Sabah juga mempersoal mengapa Nurul Izzah berjumpa Jacel untuk mendapatkan sokongan untuk pembebasan bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan Jacel hanyalah anak perempuan kepada 'self proclaimed' sultan.

"Jika mahu mendapatkan sokongan sekali pun, seharusnya berjumpa dengan wakil kerajaan Filipina yang betul, dan bukannya bertemu dengan Jacel kerana ia mengundang syak wasangka," katanya. 

Bagaimanapun, Yamani Hafez berkata, pihaknya meminta pihak polis membuat siasatan lanjut terhadap motif dan niat sebenar di sebalik pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel.  

Yamani Hafez juga mahu kerajaan negeri mengharamkan kemasukan Nurul Izzah ke Sabah kerana beliau telah mencalar perasaan rakyat Sabah. - Bernama

Artikel Lain