KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini perlu bersatu mempertahankan kesucian dan hak agama, serta mengelakkan elemen penghinaan terhadap agama, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata, elemen penghinaan terhadap agama berlaku apabila wujudnya kelemahan dan tiada penyatuan pemikiran serta kesaksamaan di kalangan umat Islam, terutama bangsa Melayu. "Kalau kita (umat Islam) berpecah sesama kita dan berbeza pendapat tidak ada agama totok (sejati), sebab itu orang tidak hormat pada kita. Dan untuk itu, kita harus belajar menghormati agama dan bangsa kita sebelum mahu orang lain menghormati agama dan bangsa kita," katanya. Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis perjumpaan Guru-guru Silat Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu. Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut mengingatkan umat Islam, terutama orang Melayu, supaya mengetepikan sebarang perebutan kuasa atau jawatan dalam parti atau pertubuhan, sebaliknya kekal bersatu demi mempertahankan kesucian serta hak agama Islam. Mengenai segelintir pihak yang menghina agama Islam, Ahmad Zahid berkata, tugas dalam mempertahankan agama Islam tidak seharusnya dibebani ke atas polis mahupun beliau sebagai menteri bertanggungjawab, sebaliknya semua bangsa Melayu seharusnya mempertahankan agama Islam serta bangsa Melayu. "Mungkin ada seorang dua yang kurang ajar tetapi yang kurang ajar harus diajar kerana jangan tunggu cacing naik ke mata. Jangan tunggu kaduk naik junjung. Sebelum cacing ini masuk ke mata, kita harus bangun untuk pertahan agama dan bangsa kita," katanya. Menyentuh tentang silat, Ahmad Zahid cabar Pesaka menghimpunkan sekurang-kurangnya 200,000 daripada empat juta anggotanya untuk mengadakan perhimpunan seluruh persatuan silat di negara dalam tempoh enam bulan. "Jika benar ada empat juta anggota persatuan silat di seluruh negara, saya ingin cabar presiden dan kepimpinan Pesaka kerana saya cuma perlu lima peratus pada tahun depan, dan kita berkumpul di Bukit Jalil," katanya. Ahmad Zahid juga berkata, beliau akan membentangkan memorandum Pesaka berhubung pengiktirafan seni silat itu sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara kepada jemaah menteri. "Pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 September lepas seni silat sebagai seni mempertahankan diri negara menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan, dan atas amanah yang diberikan saya akan bentang memorandum itu kepada jemaah menteri," katanya. Sementara itu, Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam memberitahu pemberita memorandum kepada Ahmad Zahid itu mengandungi beberapa langkah pembangunan seni silat untuk dikembangkan di pelbagai peringkat termasuk sektor kerajaan, badan bukan kerajaan, universiti dan kolej. - Bernama