GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah Teh Yee Cheu meletak jawatan sebagai setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang berkuatkuasa Ahad. Peletakan jawatan melalui e-mel itu dialamatkan kepada Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow dan setiausaha DAP negeri Lim Hui Ying. Dalam surat peletakan jawatannya, Yee Cheu memaklumkan parti bahawa dia mengambil keputusan meletak jawatan atas sokongannya terhadap usul berkaitan penambakan tanah di Dewan Undangan Negeri pada 20 November. Pada Jumaat, usul yang dibentangkan oleh Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) menarik perhatian apabila Yee Cheu mengundi bersama-sama dengan semua sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang hadir di sidang DUN manakala lima wakil rakyat PKR berkecuali.