suria

1MDB Mampu Selesai Hutang Tanpa Bantuan Kerajaan - Johari

KUALA LUMPUR: Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yakin dapat menyelesaikan hutang dan isu aliran tunai syarikat berkenaan dengan lebih cepat tanpa melibatkan bantuan daripada kerajaan, Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Isu 1MDB juga bukan punca kejatuhan Ringgit Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

"Sebaliknya beberapa faktor seperti faktor luaran seperti kejatuhan harga minyak mentah, faktor ekonomi global yang bergantung pada eksport yang menyebabkan tekanan pada ringgit," katanya semasa menjawab soalan lisan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang). 

Johari berkata semua perancangan strategik di bawah pelan rasionalisasi 1MDB sedang dilaksanakan dengan cepat tanpa sebarang halangan ke arah mengurangkan faedah hutang yang ditanggung syarikat berkenaan. 

"1MDB telah merancang dan sedang melaksanakan langkah rasionalisasi termasuk penjualan aset, perkongsian ekuiti dan lain-lain... kita yakin dapat menyelesaikan jumlah hutang yang ditanggung tanpa bantuan kewangan kerajaan," katanya. 

1MDB baru-baru ini menyatakan pelan rasionalisasi antara lain, melibatkan 'hutang untuk tukaran aset' dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), jualan ekuiti dalam Edra Energy, jualan ekuiti dalam Bandar Malaysia, jualan tanah di TRX dan pelupusan aset bukan teras. -- Bernama

1MDB, Johari Abdul Ghani, PAS

Artikel Lain