suria

Dakwaan Charles 'Tepat Pada Masa' - Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR: Dakwaan penglibatan ‘personaliti’ negara ini dalam kes pembunuhan Kevin Morais timbul pada masa yang tepat iaitu menjelang Perhimpunan Agung Umno 2015.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, dakwaan itu dibuat pada waktu yang tepat seperti mana kebiasaannya apabila isu berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ditimbulkan menjelang berlangsungnya acara besar.

"Saya tak dapat bantu tetapi melihat keseluruhan episod apabila setiap kali ada acara sebesar Perhimpunan Agung Umno akan timbul beberapa isu berkaitan perdana menteri.

“Masanya tepat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, Khamis.

Menteri Kesejaheteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian sebagai mengulas dakwaan adik kepada mendiang Kevin, Charles Suresh Morais bahawa dia mempunyai pemacu pena (pen drive) mengandungi maklumat terkini berhubung kes yang dikendalikan mendiang dan boleh disabitkan dengan kematiannya.

Charles mendakwa kes itu membabitkan individu tertentu yang berpengaruh di negara ini.

Terdahulu, Abdul Rahman menulis di Twitter mengenai isu sama apabila Charles menandatangani akuan sumpah berkanun pada Rabu berhubung dakwaannya.

Charles percaya bahawa abangnya yang juga seorang Timbalan Pendakwa Raya yang dipinjamkan Jabatan Peguam Negara kepada SPRM  dibunuh kerana kes yang sedang dikendalikannya.

“Satu lagi wayang dengan skrip yang buruk, sama buruk dengan pelakonnya,” tulisnya di Twitter.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain