KOTA BARU: Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood memulakan misi penjelajahannya mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand. Wan Hashim, 70 yang kelihatan cergas dan bersemangat, akan membuat kayuhan tiga pusingan berturut-turut membabitkan jarak 8,000 kilometer bermula di Kota Baharu kemudian ke Singapura sebelum ke Selatan Thailand, dan menjangka cabaran itu dapat disempurnakannya dalam tempoh 80 hari. Majlis pelancaran misi solo itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Md Anizam Abdul Rahman di perkarangan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan pukul 8.45 pagi. Wan Hashim berkata beliau amat teruja untuk menjayakan misi kayuhannya kali ini yang dijangka akan lebih menguji staminanya. "Hari ini umur saya genap 70 tahun. Saya harap dalam usia ini saya berjaya menamatkan misi ini dalam tempoh yang dirancangkan," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Misi Kayuhan Solo Penjelajahan Tiga Pusingan Semenanjung Malaysia, Singapura dan Thailand di sini. Turut hadir memberikan sokongan kepada beliau penjaga gol Pasukan Bola Sepak Kelantan dan kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat. Wan Hashim berkata selain ingin mencipta rekod peribadi baharunya, beliau juga akan turut mengedarkan risalah pelancongan di beberapa destinasi sepanjang penjelajahannya sebagai rangka promosi Tahun Melawat Kelantan 2016. Anak kelahiran Kelantan itu sebelum ini menerima anugerah Malaysia Book Of Records pada Feb tahun lepas sebagai pengayuh tertua mengelilingi semenanjung Malaysia. Beliau juga pernah menamatkan kayuhan sejauh 5,319 kilometer mengelilingi Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia, Singapura dan Semenanjung Malaysia. Sementara itu, Md Anizam berkata kerajaan negeri amat menyokong keberanian dan semangat yang ditunjukkan Wan Hashim. "Persatuan pengayuh basikal dan beca Kelantan akan mengiringi Wan Hashim hingga ke Bachok hari ini sebagai tanda sokongan... kita doakan misi beliau kali ini akan berjaya," katanya. -- Bernama