suria

Dua Rakyat Malaysia Ditahan Ketika Berenang Tinggalkan Singapura

SINGAPURA: Dua lelaki rakyat Malaysia masing-masing berusia 37 dan 39 tahun ditahan ketika cuba meninggalkan negara ini dengan berenang ke tanah besar menggunakan beg sampah yang diikat pada kepala untuk mengelak dikesan.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata, kira-kira pukul 4.40 petang Rabu, pegawai di Pusat Pemeriksaan Woodlands mengesan dua beg sampah hitam terapung berhampiran pesisir pantai.

"Mengesyaki sesuatu, pegawai berkenaan melakukan pemeriksaan dan mengesan dua individu sedang berenang ke arah tanah besar Malaysia," menurut kenyataan ICA.

Siasatan awal mendapati, mereka adalah pesalah Imigresen yang tinggal lebih masa di Singapura.

Pihak ICA memandang serius tindakan tinggal lebih masa dan memasuki atau meninggalkan Singapura secara haram.

Mengikut Akta Imigresen (Cap 133), jika bersabit kesalahan tinggal lebih masa atau masuk secara haram boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan dan minimum tiga sebatan rotan, manakala hukuman kerana meninggalkan Singapura secara haram boleh didenda sehingga S$2,000 (RM6,001), penjara sehingga enam bulan atau keduanya.

Singapura, ICA, Imigresen

Artikel Lain