suria

DUN Sabah Lulus Usul Khas Larang Kemasukan Nurul Izzah, Tian Chua

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul khas untuk melarang Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua daripada memasuki negeri itu susulan pertemuan mereka dengan anak perempuan Sultan Sulu, Jacel Kiram di Manila awal bulan ini.

Wakil Rakyat Barisan Nasional Sabah menyokong penuh usul yang dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan bagi menghalang kedua-dua Ahli Parlimen itu kerana mencemar kedaulatan Sabah.

Bapa Jacel, Jamalul Kiram III mengarahkan adiknya Agniemuide supaya menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu pada Februari 2013 di mana 10 anggota polis dan tentera terkorban.

Timbalan Speker DUN Sabah, Datuk Johnson Tee membenarkan usul khas itu kerana isu berkenaan berkaitan kepentingan awam.

Tan menerusi usul itu meminta supaya siasatan dijalankan dan tindakan undang-undang diambil terhadap kedua-dua pemimpin pembangkang itu.

Ketua Menteri, Datuk Musa Aman berkata, beliau akan memberi perhatian terhadap saranan itu sebelum memutuskan tindakan sewajarnya.

Tian Chua dilarang memasuki Sabah pada April 2013, manakala Nurul Izzah pada Mei 2013.

Ketua Menteri berkuasa melarang mana-mana pihak memasuki sesebuah negeri.


Artikel Lain