KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dirayu supaya tidak ‘menidakkan’ peluang rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang ditawarkan kerajaan. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kerajaan sedar BNM tegas menetapkan syarat pinjaman sehingga banyak permohonan pinjaman perumahan ditolak. Katanya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan permohonan tidak diluluskan BNM, termasuk tidak mempunyai dokumentasi lengkap seperti slip gaji dan kebimbangan BNM terhadap hutang isi rumah yang tinggi. “Jangan menidakkan orang miskin dari dapat rumah kerajaan. Saya minta sangat-sangat BNM lihat semula pinjaman perumahan terutamanya kepada PPR. “Jangan anggap jual goreng pisang tiada pendapatan. Keutamaan kementerian saya ialah pastikan yang miskin dapat rumah tapi BNM berbeza, saya rayu BNM melihat secara holistik,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, Khamis. Katanya, pertimbangan boleh dibuat BNM dengan melihat kepada nilai sosial apabila golongan berpendapatan rendah diberi peluang memiliki rumah bernilai RM150,000 dan memperoleh pinjaman RM35,000. “Sebab itu saya minta BNM, jangan anggap ini sebagai transaksi komersial, ia ada banyak nilai sosial yang boleh membantu seseorang memiliki aset,” katanya. Mengakui isu ini kompleks dan memerlukan banyak kajian, Abdul Rahman berkata, perbincangan masih berjalan dan kementerian masih cubameyakinkan BNM untuk memberi pertimbangan sekurang-kurangnya untuk rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR). “Saya ingin ingatkan pihak bank, saya mahu lebih ramai orang memiliki rumah. Saya tahu keutamaan BNM adalah hutang isi rumah agak tinggi di negara ini. “Tapi bagi rumah kos rendah ini, jumlah dipinjam jauh lebih rendah dari nilai rumah tersebut. Pinjaman hanya RM35,000 takkan pihak bank tak boleh beri sedikit ihsan, RM35,000 untuk rumah bernilai RM100,000. “Kalau bank bawah saya, saya selesaikan perkara ini tapi BNM ada pertimbangan lain, sebab hutang isi rumah terlalu tinggi,” katanya. Abdul Rahman bagaimanapun berkata, kementerian tidak menyalahkan BNM dalam isu ini kerana faham bahawa institusi itu mempunyai garis panduan dan kebimbangan sendiri.