Ismail berkata tiga plaza tol terlibat terletak di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) iaitu Plaza Tol Salak Selatan; Plaza Tol Putrajaya dan Plaza Tol Seri Kembangan.
Turut terlibat Plaza Tol PJS2; Plaza Tol PJS5 dan Plaza Tol Pantai Dalam yang masing-masing terletak di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) selain Plaza Tol Batu 9 serta Plaza Tol Batu 11 di Lebuhraya Cheras-Kajang (Grandsaga).
"Dua lagi plaza tol adalah Plaza Tol Seri Muda dan Plaza Tol Alam Impian yang terletak di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA)," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.
Sehubungan itu, katanya pengguna perlu menggunakan sama ada kad PLUSMILES, Touch n Go atau SmartTAG untuk melakukan transaksi bayaran tol di plaza tol terlibat.
Katanya untuk memastikan operasi berjalan lancar pihak konsesi lebuh raya menyediakan lorong tambah nilai dan penjualan kad Touch n Go yang beroperasi 24 jam selain turut menempatkan kakitangan untuk membantu jika berlaku masalah.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi hotline Pusat Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 atau mana-mana pusat khidmat pelanggan lebuh raya yang terlibat.