suria

PAU: Isu Dana Usahawan Bumiputera Antara Agenda Utama Pemuda Umno

Khairy Jamaluddin ketika merasmikan Konvensyen Dana Bumiputera anjuran Pemuda Umno Malaysia di PWTC, Sabtu.

KUALA LUMPUR: Dana yang disediakan kerajaan untuk usahawan bumiputera merupakan antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda Umno pada Perhimpunan Agung Umno, bulan depan.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu merasakan perkara itu perlu diberi perhatian kerana walaupun banyak dana disediakan oleh kerajaan terutamanya dalam Bajet 2016, tetapi masih banyak rungutan di kalangan usahawan bumiputera di peringkat bawahan untuk mendapatkan pinjaman perniagaan.

"Kita rasa ada keperluan (untuk bangkitkan isu dana bumiputera). Kita nak tau mana jurang yang wujud menyebabkan ada yang tak dapat, susah dapat (pinjaman), dengan segala banyak dana dan institusi yang ada.

"Kita nak pastikan dana itu sampai kepada usahawan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Dana Bumiputera di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Sabtu.

Hadir sama ialah Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang merupakan pengerusi konvensyen berkenaan dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib.Khairy berkata Pemuda Umno berharap untuk mencari penyelesaian terhadap isu dana berkenaan supaya kemudahan yang disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan oleh peniaga dan usahawan bumiputera.

Sehubungan itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, menasihatkan golongan belia terutama para siswazah yang berminat menceburi bidang keusahawanan supaya mendapatkan maklumat terperinci.

"Saya berjumpa dengan ramai mahasiswa yang ingin memulakan perniagaan, tetapi masih tak tahu wujudnya PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad), Mara (Majlis Amanah Rakyat). Masih ada yang beranggapan nak buat pinjaman kena ada aset untuk cagaran," katanya.

Beliau berkata pada perhimpunan agung parti nanti, Pemuda Umno akan menumpukan kepada isu sebenar, termasuk isu usahawan bumiputera.

Sementara itu, Khairy berkata Umno masih merupakan parti yang paling demokratik di negara ini tetapi di sebalik kebebasan yang diberi, perlu ada displin di kalangan anggota parti.

"Perlu ada displin parti. Ini parti politik...ini bukan pasar, kena ada disiplin, parti pembangkang pun (buat tindakan) sama," katanya mengulas mengenai pemecatan bekas Ketua Wanita Bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman daripada parti kerana melanggar disiplin parti oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno Selasa lepas. 

Ditanya mengenai tindakan pemecatan itu tidak melalui Lembaga Disiplin parti, Khairy berkata kuasa tertinggi parti adalah MT, yang mempunyai kuasa muktamad untuk menentukan apa-apa tindakan disiplin.

"Ramai yang kritik pimpinan, yang tak dipecat. Dia (Hamidah) dipecat kerana melampau," katanya.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain