PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap kempen pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan kes liwat keduanya. Beliau yang sebelum ini ditahan bersama peguamnya, Matthias Chang mendakwa, pembebasan Anwar daripada Penjara Sungai Buloh itu penting kerana beliau dapat berperanan sebagai ketua pembangkang yang efektif untuk negara. "Kita perlukan pembangkang yang efektif dan rasional untuk sama-sama memainkan peranan ke arah pertumbuhan negara tanpa sebarang agenda politik. "Oleh itu, wajar untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar bagi menyemarakkan landskap serta senario politik negara. "Apa yang harus kita gusarkan sekiranya mentadbir negara ini secara amanah," soalnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu. Suami kepada aktres Datin Seri Umie Aida itu juga menambah, ketika negara diambang kejatuhan dari perspektif politik dan ekonomi, oleh itu sudah tiba masanya semua pihak bersatu. "Jangan buat retorik politik lagi, tetapi harus ikhlas untuk membangunkan semula negara," katanya yang dibebaskan dengan jaminan RM10,000 baru-baru ini. Pada masa sama, Khairuddin juga menggesa ahli Umno supaya berani menegur kepimpinan untuk menjamin kelangsungan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14. Beliau mendakwa penyokong BN terlalu kuat mengampu dan tidak berani membuat teguran membina ke atas kepimpinan parti itu.