suria

"Satu Perjalanan Menerusi Masa' Mampu Lonjak Pelancongan Malaysia

Mohamed Nazri (tengah) menyampaikan Anugerah Terpuji Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan 2015 kepada Pengurus Besar Hermes's, James Law (kiri) menerusi jam Hermes's Slim d'Hermes Perpetual Calendar pada Malam Gala Pelancongan dan Kebudayaan: Majlis Anugerah Jam dan Barangan Kemas 2015, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Pameran jam dan barangan kemas berjenama dunia, 'Satu Perjalanan Menerusi Masa' dijangka mampu membantu kerajaan untuk mencapai ketibaan 26 juta pelancong dengan kutipan hasil RM168 bilion menjelang 2020.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata usaha sedemikian oleh sektor korporat juga sejajar dengan usaha kerajaan  untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah dunia untuk jenama mewah.

"Kementerian ini telah menjadi rakan kerjasama dengan Galeri Starhill dalam Satu Perjalanan Menerusi Masa sejak ia dilancarkan sembilan tahun lalu.

Saya berasa gembira apabila mengetahui, Satu Perjalanan Menerusi Masa telah berubah menjadi lebih inklusif dengan meluaskan sasaran pengunjungnya dan menjangkau hingga pengguna muda," katanya.

"Ia telah menggabungkan pengalaman yang bukan hanya menarik kepada pengumpul koleksi berpengalaman, peminat jam dan barangan kemas tetapi juga mereka yang baharu berjinak-jinak dan mereka yang ingin tahu keindahan dunia jam dan barangan kemas, " kata beliau.

Mohamed Nazri berkata demikian dalam ucaptamanya di Malam Gala Pelancongan dan Kebudayaan: Majlis Anugerah Jam dan Barangan Kemas 2015, di sini Jumaat malam.

Justeru, beliau berkata kementerian akan memberi sokongan kuat kepada acara berprestij ini yang dihormati dan dinanti oleh semua peminat tegar jam dan barangan kemas di Asia.

Acara dalam kalendar pelancongan itu mengetengahkan koleksi daripada 125 jenama jam dan barangan kemas antarabangsa untuk mempamerkan koleksi istimewa mereka.

Pameran itu berlangsung selama lapan hari sejak 20 Nov sehingga hari ini di Galeri Starhill, Jalan Bukit Bintang di sini.

Pada majlis itu, jam Hermes's Slim d'Hermes Perpetual Calendar diumumkan sebagai penerima Anugerah Terpuji Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan 2015. -- Bernama

Artikel Sebelum

Sukarelawan Banjir Siap Sedia

Artikel Berikut

Artikel Lain