VALLETTA (MALTA): Kejayaan sebanyak 95 peratus usaha Malaysia dalam melaksanakan pemulihan atau proses 'deradikalisasi' terhadap golongan ekstremis dan pengganas, mencuri perhatian para pemimpin negara anggota Komanwel pada Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) 2015, di sini. Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Malaysia akan menganjurkan persidangan antarabangsa selama dua hari mengenai deradikalisasi bagi berkongsi pengalaman negara dalam aspek kaedah pelaksanaan, perundangan dan pendekatan, mulai 25 Januari tahun depan. Ahmad Zahid ketika membentangkan kejayaan negara dalam memulihkan golongan tersebut pada sesi permukiman CHOGM, para pemimpin dari 53 negara anggota Komanwel melahirkan rasa minat untuk mempelajarinya dari Malaysia. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Malaysia mempunyai pengalaman yang lama dan luas dalam memulihkan golongan seperti itu sejak zaman ancaman Komunis. "Malaysia juga sudah lama menghadapi ancaman kumpulan ekstrem dan pengganas dari negara serantau bersempadanan dengan negara seperti dari selatan Thailand, selatan Filipina dan Indonesia," katanya kepada media Malaysia, Sabtu. Ahmad Zahid berkata kerajaan yakin akan mencapai tahap pemulihan 100 peratus terhadap golongan terbabit apabila tindakan lanjut dan terperinci dilaksanakan. Beliau berkata perkara mengenai 'deradikalisasi' itu timbul ketika ketua negara membincangkan mengenai keganasan dan antara topik lain yang menjadi perhatian mereka ialah isu perubahan iklim serta migrasi. Mengulas mengenai persidangan itu, Ahmad Zahid berkata beberapa agensi dan pihak terlibat dalam usaha memulihkan golongan berkenaan, akan dijemput. Mereka termasuk dari Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan ulama. Mengenai hasrat Pengerusi baharu Majlis Belia Komanwel (CYC) Kishva Ambigapathy untuk memindahkan sekretariat CYC dari Sri Lanka ke Kuala Lumpur, Ahmad Zahid bersetuju dengan hasrat itu dan bersedia membantu bagi merealisasikan impian berkenaan. "Kami bersetuju dengan cadangan itu dan kami juga sedia berusaha untuk mencari peruntukan bagi penubuhan sekretariat itu," katanya. CHOGM membincangkan isu untuk ditangani seperti perubahan iklim, migrasi, ekstremisme keganasan, pemerkasaan belia, kesaksamaan gender dan hak asai manusia. Bertemakan 'Menambah Nilai Global', CHOGM 2015 mahu mendapat kekuatan Komanwel dalam politik antarabangsa bagi menghadapi isu-isu global.-- Bernama