ALOR SETAR: Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah, mangkat di Wad Diraja Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, jam 1 pagi Ahad akibat gering. Kemangkatan baginda pada usia 86 tahun itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini. Almarhum yang diputerakan pada 24 September 1929 akan disembahyangkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit, dekat sini, jam 1 tengah hari. Seterusnya Almarhum akan disemayamkan untuk penghormatan terakhir antara jam 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang untuk orang awam, manakala 2.30 hingga 3.30 petang untuk orang kenamaan. Jenazah akan dibawa melalui Lebuhraya Darul Aman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum dibawa ke Makam Diraja Langgar untuk disemadikan jam 4.45 petang. Mukhriz berkata semua ketua jabatan diminta memberi pelepasan kepada kakitangan untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum. "Bendera akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula Ahad (hari ini), manakala tempoh berkabung adalah selama tujuh hari sehingga 5 Disember ini dengan semua acara hiburan dan perayaan dibatalkan sepanjang tempoh itu," katanya. Kemangkatan Tunku Abdul Malik menyusul lebih dua bulan selepas kemangkatan isteri baginda Raja Puan Muda Kedah, Tunku Hajah Raudzah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah pada 21 September lepas.