SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang ibu berusia 35 tahun berikutan penemuan mayat dua anak lelakinya berusia tiga dan lima tahun di sebuah rumah di Taman Wira, Sungai Petani pada Selasa. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata dalam kejadian 3 petang itu, dua mayat kanak-kanak tersebut, ditemui datuknya berusia 60-an yang juga penghuni di rumah berkenaan, di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah tersebut. "Apabila dia (datuk) balik, buka pintu bilik tidur anak perempuannya, dia dapati dua cucu dalam keadaan terlentang atas tilam dan berlumuran darah," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Suspek berusia 35 tahun yang juga suri rumah itu pula katanya kelihatan duduk di bucu bilik berkenaan bersama dua bilah pisau dapur. Jelasnya, polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan kelaran di leher dan tangan kanak-kanak berusia tiga tahun tersebut, dan kesan kelaran di leher abang kanak-kanak terbabit. Polis turut merampas dua bilah pisau itu untuk tindakan lanjut. Mohd Nashir berkata suami kepada suspek tidak tinggal bersama kerana bekerja di Singapura sebagai tukang masak selama hampir lima tahun dan hanya balik sekali-sekala. Beliau berkata suspek kini ditahan polis dan sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini (di bawah tahanan polis), manakala kedua-dua mayat kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.