KOTA KINABALU: Dua beradik Muktadir yang terkenal mengadakan penculikan untuk mendapat tebusan di Sabah meninggalkan saudara mereka yang cedera di hospital dan melarikan diri, beberapa minit sebelum pasukan keselamatan tiba untuk menahan mereka. Nikson Muktadir dan Badong @ Adzmil Muktadir berada di sebuah hospital di Jolo, Filipina bersama abang mereka, Kadafi Kamsa, yang cedera dalam satu kemalangan membabitkan motosikal pada Sabtu lalu semasa cuba untuk merompak seorang penunggang motosikal lain di Panamao, Sulu. Kadafi bersenjatakan pistol ketika kejadian. Dia dilaporkan merempuh kenderaan lain sehingga mengakibatkan kemalangan yang menyebabkan kecederaan di bahagian kepala. Seorang penunggang motosikal lain yang mengalami patah kaki mengambil senjata berkenaan. Nikson dan Badon kemudiannya membawa Kadafi ke hospital wilayah Jolo. Sejurus selepas itu, polis dan tentera mendapat maklumat mengenai anggota yang dikaitkan militan Abu Sayyaf berada di sana. Bagaimanapun, Nikson dan Badon telah melarikan diri sebaik sahaja pasukan keselamatan tiba di hospital, dan hanya menemui Kadafi dan menahannya. Penahanan Kadafi menyukarkan kumpulan penculik rentas sempadan yang amat dikehendaki untuk terus melakukan aktiviti mereka. Ia berikutan Kadafi dan pasangan kembarnya yang telah meninggal dunia, Mindas lebih aktif di kalangan Muktadir bersaudara, yang terlibat dalam beberapa kes penculikan. Kedua-dua mereka terlibat dalam penculikan Bernard Then dan Thien Nyuk Fun dari sebuah restoran di Sandakan pada 14 Mei lalu. Bagaimanapun, polis Filipina menembak mati Mindas di Jolo seminggu selepas penculikan tersebut. Komander Filipina bagi Pasukan Petugas Bersama Sulu, Briged Jeneral Alen Arrojado berkata, satu misi memburu Nikson dan Badong sedang dijalankan. Sumber risikan percaya Kadafi turut terlibat dalam pembunuhan pelancong Taiwan, Hsu Li Min, 57, dan penculikan isterinya, Chan An Wei, 58, dari Pom Pom Resort di Semporna pada 15 November lalu. Mereka turut percaya bahawa dia terlibat dalam penculikan seorang pemilik penternakan ikan di Kunak pada 16 Jun 2014. Arrojado berkata, pihaknya sedang menguruskan untuk mendakwa Kadafi yang menggunakan nama gantinya, Amin Maing untuk kes penculikan. "Kita dalam proses untuk mengeluarkan dia dari hospital dan membawanya ke Zamboanga City untuk didakwa," katanya. Arrojado berkata, pasukan keselamatan telah mempertingkatkan kawalan di hospital sebagai persediaan menghadapi sebarang serangan balas oleh kumpulan militan. "Kita mahu mendapatkan keadilan untuk keluarga Then," kata Arrojado sambil menambah bahawa pasukannya masih sedang menjejaki mayat Then, yang dipercayai ditanam di kawasan Indanan. Kepala Then ditemui di dalam karung guni di bandar Jolo selepas rundingan untuk mendapatkan wang tebusan gagal. Nikson dan Badong dilaporkan mengarahkan lebih 40 anggota, yang beroperasi dari pangkalan mereka di Tawi Tawi, bersempadan perairan dengan pantai timur Sabah. Bapa kepada adik-beradik itu merupakan lanun yang begitu dikenali pada lewat 1980an dan keluarga berkenaan tinggal di dalam dan luar Semporna bertahun-tahun. Sekurang-kurangnya enam beradik merupakan anggota yang masih aktif bagi kumpulan penculikan untuk tebusan, yang turut bekerja dengan Abu Sayyaf di bawah sub-komander Indang Susukan, Alhabsy Misaya, Anga Adji dan Yasser Igasan. Penahanan Kadafi dua hari selepas pasukan keselamatan Filipina menahan Saddam Jailani yang dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf di bawah Misaya, yang kemudiannya memenggal Then pada 17 November lalu.