suria

Hamidah Belum Terima Surat Pecat, Akan Hadir PAU 2015

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman mendakwa beliau masih belum menerima surat rasmi berhubung pemecatannya.

Hamidah berkata, selagi belum mendapat surat pemecatan itu, beliau masih lagi anggota parti.

"Saya tidak dapat lagi surat rasmi pemecatan sehingga hari ini. Selagi tak ada surat hitam putih, saya menganggap masih lagi ahli Umno.

"Saya akan hadir pada Perhimpunan Agung Umno nanti kalau masih lagi jadi ahli. Bagaimanapun, saya akan cuba dapatkan penjelasan berhubung status saya," katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato Onn' di sini, Rabu.

Hamidah hadir bagi memberi sokongan kepada sembilan Ketua Cawangan Umno Teluk Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin Umno pada Rabu kerana sebelum ini mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak supaya meletakkan jawatan presiden parti.

Minggu lalu, Umno memecat Hamidah kerana kelantangannya mengkritik presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hamidah berkata, beliau masih keliru berhubung soal pemecatannya kerana hanya diminta untuk menjawab surat tunjuk sebab kerana berada pada majlis bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun katanya, mengikut perlembagaan parti beliau sepatutnya dipanggil oleh Lembaga Disiplin Umno.

"Saya rasa tidak adil. Saya hairan sebuah parti yang menjadi tulang belakang negara dan kerajaan boleh mentadbir parti macam pasar," katanya.

Menurut Hamidah, perjuangan beliau adalah untuk agama, bangsa dan negara walaupun ditakdirkan bukan lagi menganggotai Umno pada masa depan.

"Walaupun saya berada di luar Umno, saya tetap memperjuangkan Umno di pentas saya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan menyertai pembangkang sekiranya disahkan dipecat dari Umno.

Hamidah Osman, PAU, Umno

Artikel Lain