KUALA LUMPUR: Sembilan Ketua Umno Cawangan Teluk Kemang akan mengetahui nasib mereka sebagai anggota parti dalam masa dua minggu, kata Kamarul Azman Habibur Rahman yang mewakili kesemua ketua cawangan terlibat. Beliau yang merupakan Ketua Cawangan Taman TKK berkata, lembaga disiplin parti telah berpuas hati dengan penjelasan mereka berhubung desakan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai presiden. "Kami telah menjelaskan mengenai desakan kami adalah demi kebaikan parti dan kami tidak mempunyai tujuan lain selain kepentingan parti," kata Kamarul. Beliau menambah, pemimpin Umno sering memberitahu anggota parti supaya meletakkan kepentingan parti mendahului mana-mana pemimpin atau individu. "Itulah yang sebenarnya kami lakukan. Kami lakukannya kerana sayangkan parti," katanya selepas berhadapan dengan lembaga disiplin parti selama empat jam pada Rabu. Beliau berkata, apa yang mereka lakukan itu adalah untuk memastikan Umno masih lagi menjadi pilihan rakyat dan ia sukar sekiranya di bawah kepimpinan Najib. "Kami beritahu lembaga disiplin bahawa kami tidak pernah mengaitkan presiden dengan sebarang salah laku, tetapi isunya kontroversi berlaku mengaitkan presiden, yang membawa kepada kurangnya sokongan rakyat terutama di kalangan anggota Umno," katanya. Ditanya mengenai kemungkinan akan berhadapan dengan hukuman, beliau berkata, perkara tersebut tidak dinyatakan dalam pertemuan bersama lembaga disiplin. "Walaupun sekiranya kami dihukum, kedua-dua kami dan lembaga disiplin bersetuju bahawa kami semua berjuang atas sebab yang sama, iaitu supaya parti diterima semua," kata Kamarul. "Kami mungkin berbeza cara, tetapi kami dengan matlamat yang sama," tambahnya.