suria

Silap Guna Perkataan 'Keling' Dan 'Kumang': Pengurus MAB Sibu Minta Maaf

Gambar daripada Facebook Iban's Troll.

SIBU: Niat baik Malaysia Airports Berhad (MAB) menerapkan ciri-ciri kebudayaan tempatan bagi operasi bangunan Lapangan Terbang Sibu mengundang respons negatif daripada penduduk Sarawak. 

Penggunaan perkataan 'Keling' dan 'Kumang' bagi menggantikan perkataan 'Lelaki' dan 'Wanita' pada papan tanda di pintu tandas balai berlepas Lapangan Terbang Sibu bukan sahaja tidak sesuai, malah mengguris hati masyarakat Iban.

Ia diviralkan sejak Selasa dan mengundang rasa marah pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (Pebedas) cawangan Sibu yang membuat laporan di Balai Polis Sibu Jaya pada jam 1 tengah hari Rabu.

Ketika memperjelaskan makna perkataan itu, Pengerusi Pebedas, Mathew Moilan berkata, Keling dan Kumang adalah pasangan dari kayangan iaitu Panggau Libau dan Gelong, selain daripada tujuh dewa utama yang disembah masyarakat Iban yang masih mengamalkan kepercayaan lama mereka.

"Keling dan Kumang adalah dewa dan dewi bagi masyarakat Iban," katanya, sambil menambah, adalah menyedihkan apabila nama dua tokoh yang mereka anggap suci itu dijadikan papan tanda di pintu tandas.

Presiden Persatuan Dayak Miri, Serawa Budol pula berkata, bagi masyarakat Iban, Keling adalah pahlawan yang gagah, berani dan bijak manakala Kumang pula selain cantik, mempunyai pelbagai kemahiran yang menjadi ikutan wanita Iban sehingga kini.

Menurut beliau, MAB Sibu sepatutnya peka mengenai perkara itu dan sekiranya ingin mempromosi bahasa Iban, adalah mencukupi untuk menggunakan perkataan 'Lelaki' dan 'Indu'.

Berikutan itu, pengurus MAB Sibu Zainuddin Abu Nasir memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Iban di negeri ini, dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

MAB, katanya, tidak mempunyai sebarang niat untuk melukakan hari masyarakat Iban kerana sebelum ini, pihaknya melihat perkataan itu boleh digunakan untuk menggambarkan lelaki dan wanita.

"Kami kesal dengan kejadian ini dan kami berjanji ia tidak akan berulang di mana-mana lapangan terbang MAB di negara ini," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Supt Martin Khoo yang turut hadir berkata, sidang akhbar itu diadakan berikutan permohonan Zainuddin supaya dapat meminta maaf kepada masyarakat Iban.

"Kita harap perkara ini tidak dipanjangkan lagi selepas ini agar tidak lagi mengguris hati masyarakat. Begitu juga kita mahu agar Pebedas boleh menguar-uarkan permohonan maaf MAB di Facebook agar masyarakat maklum mengenainya," kata beliau. - Bernama

Keling, Kumang

Artikel Lain