suria

Sesat Setelah Melontar Aqabah

ASSALAMUALAIKUM.  Saya dan rombongan jemaah tiba di Mina pada jam 2.30 pagi. Sejurus sampai di khemah,  kami membersihkan diri dan Allhamdulillah ketika itu belum ramai jemaah dan ini memudahkan kami untuk ke bilik air.

Mandi tidak boleh bersungguh-sungguh maklumkan semua dalam ihram. Jadi, perlulah berhati-hati apabila menanggalkan tudung. Ketika mandi pula, sabun bebas pewangi menjadi pilihan. Terasa segar selesai mandi dan berwuduk sebagai persediaan untuk bersolat sunat dan solat Subuh.

Selesai mandi, saya kembali semula ke dalam khemah dan ketika itu belum semua jemaah tiba dari Muzdalifah. Masih ada sebahagian kecil yang belum sampai. Ada jemaah yang sudah lena walaupun tidur beralaskan hamparan permaidani merah dan berlapik ‘sleeping beg’.

Usah dicari bantal kerana dengan beg galas atau tuala yang digulung kami jadikan bantal. Di khemah yang dihuni selama tiga malam, kami tidak boleh cerewet dan mengeluh. Makan apa yang diberi, iaitu pek berisi makanan, buah dan minuman kotak.

Namun, persediaan awal iaitu serunding, sambal ikan bilis kering, kicap bercili, paru goreng bercili dan ikan kering yang dibawa dari tanah air menjadi pembangkit selera apabila di khemah sama ada Arafah mahupun Mina.

Hendak makan yang sedap tunggu sahaja pulang ke Makkah atau tanah air. Tidak boleh mengeluh kerana keadaan dialami itu hanya sementara dan hakikatnya benar-benar menguji ketabahan dan keimanan kita sebagai tetamu Allah.

Suasana di Mina agak nyaman. Tidak sehangat di Arafah. Khemah bertutup rapi. Ada alat pendingin udara yang sudah terlalu lama namun sedikit sebanyak membantu ketika mentari terik menyinari bumi Mina pada sebelah tengah hari.

Saya sukar melelapkan mata. Hanya setelah solat Subuh, baru saya terasa mengantuk.  Mata baru terlelap tetapi tiba-tiba kami dikejutkan dengan kehadiran jemaah bernama Zahara yang lebih dikenali sebagai kak Sarah.

Beliau dibawa masuk ke dalam khemah dalam keadaan cukup lemah dan pucat. Kak Sarah pengsan. Semua jemaah bergegas menghampirinya. Saya yang duduk tidak jauh dari tirai masuk khemah terus menghampirinya bersama-sama beberapa orang lagi jemaah.

“Kak, kak...mengucap kak,” ujar jemaah bernama Jun kepada kak Sarah sambil meriba beliau dan mengusap-ngusap telekungnya.

“Hajah, hajah, takkan nak biarkan sahaja. Kena panggil doktor,” ujar jemaah bernama Noor Azlina yang berusia dalam lingkungan pertengahan 30-an.

Saya masih tidak mampu bertindak segera kerana terkejut dengan keadaan kak Sarah yang juga rakan sebilik saya di Makkah. Beliau sihat dan sentiasa girang namun setibanya di Mina, lain pula keadaannya.

Mata Kak Sarah terpejam rapat dan mulutnya tidak terbuka. Saya memerhati Kak Sarah dan berkata-kata di dalam hati adakah peristiwa yang sama akan berulang ketika saya baru tiba di Makkah iaitu sewaktu menghadap Mek Yam yang menghembuskan nafas terakhir di depan saya dan beberapa lagi jemaah.

Alhamdulillah Noor Azlina, pengusaha sebuah restoran di Ipoh, Perak bertindak pantas dengan keluar dari khemah untuk memaklumkan kepada petugas kesihatan dan hanya beberapa minit kemudian, datang dua petugas kesihatan memeriksa kak Sarah.

Petugas kesihatan itu bertanya apakah kak Sarah ada sebarang penyakit dan mengambil sebarang ubat-ubatan dan seorang lagi jemaah, kak Nora memaklumkan bahawa dia hanya mengambil ubat anti kanser kerana beliau pernah menghidap kanser.

Tekanan darah dan pemeriksaan kadar glukosa dijalankan namun segala-galanya berkeadaan normal. Alhamdulillah. Jun memberi sedikit air zamzam kepada kak Sarah manakala kak Nora pula menasihatkan kami agar tidak terlalu gusar dengan keadaan itu.

“InsyaAllah, Sarah ok nanti. Mungkin dia keletihan dan stres sebab tidak tidur semalaman,” ujar kak Nora.

Sejurus petugas kesihatan pulang, kak Sarah membuka mata perlahan-lahan setelah namanya disebut beberapa kali. Dia tidur dan bangun semula untuk bersarapan. Kak Sarah kelihatan ceria semula dan mengatakan dia keletihan kerana tidak cukup tidur.

Tidak lama selepas itu, Haji Aminuddin, ketua rombongan Destinasia Travels Sdn Bhd memanggil saya.

“Nanti kak Ana pastikan khemah kita ni tidak diambil oleh orang lain sebab sekarang ni tidak cukup khemah dan ada jemaah yang akan masuk ke dalam khemah kita jika tak dikawal rapi,” pesan beliau yang akan menyempurnakan lontaran pertama iaitu Jamrah Aqabah  pada pagi itu.

“InsyaAllah. Kak Ana jaga dan pastikan tak ada jemaah lain masuk ke dalam khemah kita,” ujar saya.

“Jemaah akan melontar jamrah Aqabah selepas solat Isyak malam ini. Semua akan berkumpul dan pergi sama-sama. Pagi ini biar saya dan beberapa petugas lelaki melontar dulu,” katanya.

“Oh ok. Nanti kak Ana maklumkan pada jemaah wanita di dalam khemah sebab ada yang dah tanya pasal melontar jamrah,” balas saya.

“Sekarang ramai orang melontar. Jadi sebaik-baiknya jemaah melontar sebelah malam. Buat masa ini, biar semua berehat dulu,” pesan Haji Aminuddin.

Saya masuk semula ke dalam khemah dan memaklumkan kepada jemaah wanita mengenai waktu lontaran jamrah Aqabah. Semua kelihatan gembira dan mengucapkan syukur. Masakan tidak, selepas lontaran pertama itu, maka tertanggal segala pantang larang ihram kecuali tiga perkara yang membabitkan pasangan.

Semua tampak bersemangat untuk menunggu siang melabuhkan tirai. Di dalam khemah, pelbagai ragam dan tingkah yang mencuit hati tidak mampu dilupakan selagi hayat dikandung badan. Ada sahaja kata-kata lucu dan usikan yang kedengaran.

Namun, bunyi batuk memecah kesunyian tapi semua itu bukanlah keadaan luar biasa kerana lazimnya, jemaah haji mahupun umrah mengalami batuk, selesema, sakit tekak dan pening. Itu lumrah.

Di sebelah kanan ruang tidur saya, jemaah bernama Nora Hayati manakala di sebelah kiri, kak Zaini. Melihat Nora Hayati batuk begitu menimbulkan simpati. Batuknya kuat dan demam berpanjangan.Sejak dari Makkah dia mula demam dan apabila di Arafah, wajahnya kelihatan kemerah-merahan kerana cuaca panas terik ketika itu.

Wanita bertubuh kecil dan tinggi lampai itu tidak banyak berkata-kata apatah lagi batuk yang kuat menghalangnya daripada berbual sesama jemaah. Saya kagum melihat beliau yang sungguh sabar dan redha dengan setiap ketentuan yang dilaluinya. Alhamdulillah demam dan batuk beransur kebah sebelum kami meninggalkan Mina.

Pada malam itu, sejurus solat Isyak, semua jemaah berkumpul di luar khemah di laluan yang menghala ke kawasan kompleks jamrah. Ada antara jemaah yang sudahpun melontar terlebih dahulu. Saya antara jemaah yang turut melontar secara berkumpulan dengan sebahagian besar jemaah lain.

Kak Sarah memaut lengan saya dan mengatakan mahu berjalan dengan saya ke kompleks jamrah. Dia tidak mampu berjalan pantas kerana masih lemah setelah pengsan sejurus tiba di khemah di Mina.

“Kak, sepanjang jalan nanti kita zikir Subhanallah Alhamdulillah Walailahaillah Allahuakbar. Mudah-mudahan akak ada kekuatan untuk melontar,” ujar saya kepada kak Sarah.

“Baiklah Ana. Terima kasih,” balas kak Sarah.

Berjalanlah saya, kak Sarah dan sebahagian besar jemaah menuju ke kompleks jamrah yang terletak kira-kira 3 kilometer dari khemah kami. Sejurus tiba di jamrah Aqabah, semua jemaah melontar di jamrah dan bertahalul. Alhamdulillah.

Kami memulakan perjalanan pulang ke khemah di maktab 68 pada kejauhan malam. Dalam kepenatan itu, kak Sarah kelihatan tambah tidak bermaya. Saya berjalan dan memegangnya di sebelah kiri manakala suaminya, Shafie, berjalan di sebelah kanan.

Sedang kami berjalan, tiba-tiba kak Sarah tersungkur dan hampir terduduk sejurus roda beg seorang jemaah lelaki dari Indonesia terkena kakinya.  Saya memegang erat Kak Sarah dan memanggil suaminya.

“Bang, tolong…kakak jatuh ni,” laung saya pada suami kak Sarah yang sudah berjalan agak ke hadapan. 

Beliau memapah kak Sarah dan mengajaknya duduk seketika. Saya menyembur air yang diisi di dalam botol wuduk ke wajah kak Sarah untuk mengembalikan kesegarannya. Kak Sarah sempat makan seulas pisang dan minum seketika di situ untuk mengurangkan keletihan.

Jemaah yang bersama-sama kami sudah jauh ke hadapan dan pastinya kami terpisah daripada mereka. Melihatkan tiada lagi jemaah Destinasia yang melalui di depan kami, saya, kak Sarah dan abang Shafie meneruskan perjalanan.

Kak Sarah memaut erat lengan kiri saya manakala suaminya pula di sebelah kanan. Kasihan melihatkan kak Sarah ketika itu. Lemah tetapi perlu meneruskan perjalanan hingga khemah. Mulutnya tidak henti berzikir. Saya terharu melihatkan keadaan beliau.

Setelah melalui perjalanan yang panjang, termasuk melalui terowong, tibalah kami di kawasan khemah yang menempatkan jutaan jemaah. Dengan penuh keyakinan, saya dan abang Shafie menghayun langkah. Namun, tiba-tiba saya bersuara.

“Eh ini bukan kawasan khemah kita ni. Kita ni sesatlah kak,” ujar saya kebimbangan sejurus melihat persimpangan di khemah.

“Bukan tempat kita ni,” ujar Shafie pula.

“Ini khemah yang ramai jemaah Indonesia. Tadi kita tak jalan di sini kan?” tanya saya pada Shafie.

“Tadi lain. Tadi kita naik bukit sikit,” balas Shafie pula.

“Alamak, handphone saya pula tertinggal di khemah. Boleh abang telefon sesiapa yang dah sampai. Mungkin mereka boleh tunjukkan arah pada kita,” pinta saya.

Kak Sarah duduk seketika manakala saya berpusing-pusing di sekitar kawasan khemah. Ternampak maktab 65 dan 66.

“Tak jauh dah kita ni dari khemah kita tapi jika kita jalan terus ke atas dah lain pula nombor maktabnya. Bimbang jika kita jalan-jalan tapi sesat lagi, kesian pula pada kak Sarah yang dah penat,” ujar saya lagi.

Dalam hati saya memohon Allah beri kemudahan dan kelapangan kepada kami. Usaha Shafie menghubungi rakan-rakan jemaah tidak berhasil kerana mereka juga tidak mampu membantu kerana hanya mengikut mutawif yang turut sama-sama pulang ke khemah. Apatah lagi, itu kali pertama melontar.

Kami berjalan semula ke laluan lain dan Alhamdulillah, kami ternampak kawasan khemah maktab 68. Syukur, kami berjaya menemui jalan pulang dan hanya tersesat seketika kerana kesilapan memasuki laluan lain.

Genap tiga malam di Mina, kami pulang semula ke Makkah untuk menyempurnakan rukun haji seterusnya iaitu tawaf dan saie haji. Untuk mengetahui kisah selanjutnya di Tanah Suci Makkah, ikuti coretan saya pada minggu hadapan, insyaAllah.



Mina, Aqabah, Maktab 68

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain