suria

Dua MP DAP Letak Jawatan Jika Tambahbaik Parlimen Tahun Depan - Pandikar

Pandikar Amin Mulia.

PETALING JAYA: Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggesa dua ahli parlimen DAP meletakkan jawatan sekiranya penambahbaikan parlimen dilaksanakan pada tahun depan.

Dalam satu artikel di laman web Kelab Penyokong Barisan Nasional (BBNBC), Speaker Dewan Rakyat itu merujuk kepada Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, yang mendesak Pandikar meletakkan jawatan sekiranya gagal membentangkan pembaharuan Parlimen kepada perdana menteri.

"Saya nak mereka letak jawatan atau mengosongkan kerusi mereka jika pada fasa pertama pembaharuan akan dilaksanakan pada awal tahun depan dalam sesi Parlimen.

“Kalau mereka tidak letak jawatan, kalaupun mereka bangun beratus kali untuk mahu bercakap atau turut berbahas, saya tidak akan jemput untuk bercakap di bawah Peraturan Mesyuarat 35.

"Mereka tidak akan mendapat penghormatan dari saya sebagai Speaker," katanya kepada bbnbc.my.

Menurut Pandikar, pembentangan mengenai penambahbaikan itu tidak dapat dilakukan pada sesi Dewan Rakyat kali ini kerana kesuntukan masa.

"Akan tetapi ini bukan bermakna bahawa janji tersebut tidak dapat ditunaikan kerana Parlimen boleh mengadakan persidangan khas untuk menimbangkan perkara mustahak pada bila-bila masa pun.

"Saya tetap akan meletakkan jawatan jika fasa pertama penambahbaikan tidak terlaksana pada sesi persidangan pertama tahun depan.

“Tetapi, jika terlaksana saya minta dua yang berhormat itu meletak jawatan. Kalau mereka gagal berbuat demikian, saya anggap mereka itu sebagai ahli parlimen yang tidak bermaruah,” jelas Pandikar.

Pandikar Amin Mulia

Artikel Lain