suria

Anggota Keselamatan: Polis Tidak Pandang Ringan Aktiviti Keganasan

SERDANG: Penglibatan anggota pasukan keselamatan dalam kegiatan keganasan seperti kumpulan militan IS (Daesh) merupakan satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata dalam menangani situasi itu, polis tentunya perlu lebih berwaspada dalam merencana tindakan kerana individu yang diawasi telah terlatih dalam pelbagai aspek seperti persenjataan.

"Kita tidak akan berkompromi, malah mereka yang telah dilatih ini akan kita beri keutamaan dalam memberikan perhatian terhadap penglibatan dalam kegiatan keganasan.

"Oleh kerana mereka ini telah dilatih, kita juga perlu tindakan khusus dan lebih berwaspada dalam tindakan yang dibuat," katanya mengulas penahanan beberapa anggota keselamatan sebelum ini termasuk yang terbaharu penangkapan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Kota Bharu, Kelantan antara 17 November hingga Selasa lepas kerana dipercayai terbabit kegiatan keganasan.

Bercakap kepada pemberita selepas menutup pertandingan lasak terbuka Polis di Raja Malaysia (PDRM) sempena ulang tahun penubuhan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) ke-60 di Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu, Khalid berkata pengawasan polis sebenarnya tidak hanya tertumpu kepada mana-mana pasukan keselamatan, sebaliknya tindakan membasmi kegiatan keganasan dilakukan secara menyeluruh.

Beliau juga memberi jaminan polis tidak akan memberikan ruang kepada mana-mana pihak untuk menggunakan anggota keselamatan dari negara ini bagi menjalankan aktiviti keganasan.

Terdahulu, Khalid dalam satu kenyataan media berkata selain anggota RELA berusia 59 tahun itu, polis dari Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman turut menahan empat warga asing, masing-masing terdiri daripada seorang warga Eropah, Afrika, Indonesia dan Bangladesh dalam satu operasi khas di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor.

Menurut kenyataan itu, suspek yang bekerja sebagai tukang jahit itu dipercayai bertanggung jawab merekrut anggota sel baru untuk terbabit keganasan di luar negara.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan mengesahkan lebih 10 anggota tentera telah ditahan kerana terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh sejak dua tahun lepas.

Dalam pada itu, Khalid berkata selaras dengan penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2012, beliau telah menguatkuasakan Arahan Ketua Polis Negara No 2 bersabit PSP berkuatkuasa hari ini, sebagai antara inisiatif memastikan pelaksanaan akta itu selaras dengan seruan hak asasi manusia.

Beliau berkata arahan itu telah melalui beberapa pengubahsuaian dan penambahbaikan hasil saranan beberapa pihak, antaranya pejuang hak asasi manusia, badan bukan kerajaan terutamanya dalam urusan mengendalikan sebarang perhimpunan agar sebarang tindakan kekerasan jika perlu, digunakan seminimum mungkin.

Arahan ini adalah bagi menggantikan Arahan Ketua Polis Negara No 2 yang terdahulu dan dengan berkuatkuasanya arahan terbaharu ini, Perintah Kawalan dan Pengoperasian PSP akan lebih tersusun dan berstruktur di bawah kuasa Komandar PSP, katanya. -Bernama

Artikel Lain