PETALING JAYA: Kemangkatan Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim dirasai oleh semua golongan rakyat bukan sahaja di Johor, malah di seluruh negara. Almarhum Tunku Jalil dilahirkan di Johor Bahru pada 5 Julai 1990 merupakan anakanda keempat Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah, didiagnosis kanser hati peringkat keempat tahun lalu dan telah menjalani pemindahan hati di Guangzhou, China. Tunku Jalil merupakan lulusan dalam bidang Zoologi di United Kingdom dan pernah bekerja sebagai penjaga zoo di Zoo Singapura selama setahun dan di Zoo London selama dua tahun. Beliau sememangnya terkenal dengan sikap peramah dan suka bergurau tanpa mengira darjat atau pangkat, malah tidak pernah menunjukkan dirinya sedang menderita dengan penyakitnya itu dan sentiasa mengukir senyuman. Sepanjang menghidap kanser, Almarhum kerap mengunjungi pesakit-pesakit di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu untuk beramah mesra dan bertanyakan khabar. Susulan itu juga, ayahandanya, Sultan Ibrahim turut menubuhkan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor tahun ini untuk membantu pesakit kanser di negara ini. Selain itu, sebelum ini Almarhum merupakan kerabat di raja Johor yang pertama berkhidmat dalam pasukan polis selepas tamat latihan polis selama sembilan bulan pada tahun 2011. Dalam pada itu Almarhum, selaku pengerusi syarikat kapal layar Innovatige Sdn Bhd., yang menganjurkan perlumbaan Piala Monsun, turut memainkan peranan penting dalam membangunkan sukan itu. Melalui program Liga Layar Malaysia dan program Belia Belayar pada 2013 yang diperkenalkannya, turut memberi peluang kepada beribu-ribu belia yang tidak berkemampuan tentang pelayaran dan memperoleh pengalaman dalam sukan kapal layar. Atas sumbangan Almarhum terhadap pembangunan sukan kapal layar, beliau pernah menerima Anugerah Pembangunan Presiden 2014 daripada Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) tahun lepas. Kali terakhir Tunku Jalil memuat naik status di laman rasmi Facebook miliknya Tunku Abdul Jalil Official pada 30 November lalu.