suria

"Jangan Libatkan Yang di-Pertuan Agong" - Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) untuk tidak mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam isu kelulusan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, ICJ perlu memahami kedudukan Yang di-Pertuan Agong berkenaan pentadbiran persekutuan.

"Sama ada mereka menyokong atau menentang undang-undang itu, itu adalah hak mereka. Walau bagaimanapun, cuba untuk mendapatkan campur tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah tidak betul.

"Ia sama seperti meletakkan baginda setanding dengan undang-undang kita di Parlimen.

"ICJ perlu mengkaji dan memahami kedudukan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu sebelum mengambil apa-apa tindakan," beliau dipetik sebagai berkata di justread-whatever.blogspot.my.

Sebelum itu, ICJ telah menggesa Dewan Negara dan Yang di-Pertuan Agong supaya menolak rang undang-undang tersebut.

"ICJ menjangkakan rang undang-undang itu akan diluluskan oleh Senat dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa perbincangan menyeluruh.

"Bagaimanapun, seruan tetap dibuat agar Dewan Negara dan Yang di-Pertuan Agong dapat menolak draf tersebut, dengan tujuan supaya ia dikembalikan kepada Dewan Rakyat bagi membuat pembaharuan yang perlu selaras dengan kedaulatan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Rang undang-undang ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Khamis. Ia antara lain, memberi MKN keupayaan untuk mencipta 'kawasan keselamatan' di seluruh Malaysia mengikut budi bicaranya.

Sementara itu Ahmad Zahid di Hutan Melintang pada Sabtu berkata Rang Undang-Undang MKN tidak mempunyai tujuan politik atau untuk memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri.

Sebaliknya, beliau berkata rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember itu bertujuan memperkukuhkan penguatkuasaan dari segi menjaga keselamatan rakyat negara ini secara keseluruhannya.

"Ketidakpuasan hati beberapa individu dan NGO (berhubung perkara ini) harus dilihat namun pihak berkenaan harus juga membaca apa yang tersirat daripada akta itu di mana kuasa tidak diberikan sepenuhnya kepada perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri pertahanan atau menteri dalam negeri, atau menteri komunikasi dan multimedia, atau beberapa menteri yang berkaitan dengan soal keselamatan.

"Sebaliknya kuasa diberikan kepada majlis, iaitu sebuah badan yang tidak menyalahgunakan kuasa, ertinya kuasa eksekutif sepenuhnya tidak ada pada PM tetapi pada badan ini, pada lembaga ini, sebagaimana yang pernah dilakukan kepada POCA dan POTA, iaitu undang-undang pencegahan jenayah dan undang-undang pencegahan keganasaan, ini mesti difahami," katanya.

Artikel Lain