suria

Banjir Chennai: 68 Pelajar Malaysia Bakal Pulang Dalam Masa Dua Hari

PETALING JAYA: Seramai 68 pelajar Malaysia di Chennai dijangka tiba di tanah air dalam tempoh dua hari akan datang.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kumpulan ini termasuklah pelajar persendirian dan mereka yang ditaja oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Mereka akan pulang melalui penerbangan AirAsia dari Kochi. Wisma Putra melalui kedutaan kami di New Delhi dan Konsulat Jeneral di Chennai, akan terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terlibat dengan apa jua cara yang mungkin," katanya.

Reezal berkata, beberapa pelajar bagaimanapun telah memilih untuk terus berada di sana.

Seorang pegawai dari Kedutaan Malaysia di New Delhi berkata Chennai telah beransur normal selepas banjir buruk melanda minggu lalu.

"Buat masa ini hujan telah berhenti," kata pegawai itu yang enggan dikenali.

Ahli perniagaan Malaysia Nithi Sevaguru, 46, melarikan diri dari apartmennya di Chennai dan pergi ke bahagian selatan ke Trichy sejauh 340km pada Sabtu selepas mendengar jangkaan hujan lebat akan berterusan.


Nithi, yang berasal dari Puchong, telah tinggal di ibu kota Tamil Nadu sejak 15 tahun lalu berkata apartmennya telah telah terputus bekalan kuasa sejak Khamis lepas.

Katanya, isterinya yang merupakan warga India telah berada di Trichy dan dia memutuskan untuk membawa bersama dua anaknya, yang berumur 11 dan 15 ke sana.


"Biasanya perjalanan mengambil masa lima jam tetapi kali ini  mengambil masa 10 jam," kata Nithi kepada The Star melalui telefon.

Nithi, yang apartmennya terletak di pusat bandar berkata hujan turun tanpa henti sejak petang Isnin lalu dan keadaan itu bertambah buruk apabila air empangan dilepaskan ke dalam sungai.

Keluarga dan mangsa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Bilik Gerakan 24 jam di Konsulat Jeneral Malaysia di talian seperti berikut:

 Tel No .: + 91-44-2433 4434/35/36
 Fax No .: + 91-44-2433 4437

Artikel Lain