KUALA LUMPUR: Umno selaku tulang belakang Barisan Nasional (BN) perlu menunjukkan bagaimana seorang pemimpin harus berkelakuan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Oleh itu "kami (Umno) harus membuktikan kepada pengkritiknya iaitu walaupun pasti berlaku perebutan kuasa dalam mana-mana parti politik di mana-mana rantau di dunia, Umno tahu bila hendak merapatkan barisan dan bila untuk membuktikan kematangan," kata beliau menerusi catatan terbaru dalam blognya http://sskeruak.blogspot.com/ Isnin. Salleh berkata Umno sebagai tonggak BN, iaitu selaku kerajaan, perlu mengutamakan parti daripada perbalahan kecil dan percakaran sesama sendiri. "Dan membuktikan bahawa kita masih mampu menjadi kerajaan, dan masih mampu meletakkan masa depan parti dan negara mengatasi semua kepentingan lain," kata beliau. Beliau berkata perhimpunan agung Umno tahun ini bakal mencorakkan rentak bagi pilihan raya negeri Sarawak, yang akan diadakan tidak berapa lama lagi dan bakal disusuli pula pilihan raya umum.