suria

Dua Penggal Terlalu Pendek - Khairy

Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Cadangan mengehadkan tempoh Presiden Umno memegang jawatan selama dua penggal adalah terlalu pendek, kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Dalam reaksinya terhadap cadangan agar jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal, Khairy berkata, tidak banyak yang dapat dilakukan dalam tempoh berkenaan.

"Dua penggal ialah tiga tahun kali dua, apa yang boleh dibuat dalam enam tahun. Bagi saya cadangan itu terlalu pendek," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Tengah hari Perwakilan Bersama Ketua Pemuda Umno di sini sempena Perhimpunan Agung Umno 2015 yang bermula Selasa.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya pada satu majlis di Kampung Baru di sini malam Isnin mencadangkan Umno mengehadkan tempoh presiden parti itu kepada dua penggal.

Menyatakan cadangan tersebut boleh dibincangkan, Khairy bagaimanapun menegaskan bahawa tempoh memegang jawatan utama itu perlulah munasabah bagi membolehkan Presiden Umno melaksanakan pelbagai perancangan demi kebaikan anggota Umno dan rakyat.

Khairy berkata pergerakan itu akan membawa usul mengenai isu yang hangat diperkatakan generasi muda pada masa ini pada perhimpunan tersebut terutamanya berkaitan ekonomi dan kos sara hidup.

Sementara itu di KLANG, anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan cadangan untuk mengehadkan tempoh presiden memegang jawatan selama dua penggal sebagai sangat tidak demokratik.

Beliau berkata presiden parti perlu diberi peluang untuk memimpin parti jika  presiden diterima baik oleh anggota.

"Saya tidak fikir mengehadkan kepada dua penggal satu amalan yang baik. Jika kita suka beliau (presiden parti), beliau perlu teruskan sehingga penggal ketiga atau keempat, jadi ia ada kesinambungan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan 'Discover Selangor Mobile App' di Majlis Perbandaran Klang, Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain