suria

Kerajaan Cadang Warta 2017 Sebagai 'Tahun Melawat Klang'

Nazri Aziz (dua, kanan) melancarkan aplikasi telefon pintar "Discover Selangor" di Bangunan Sultan Alam Shah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) sempena lawatan kerja ke Bandar DiRaja Klang pada Selasa. Turut hadir Exco Pelancongan Negeri Selangor, Elizabeth Wong (kanan) dan Yang DiPertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin (kiri). -fotoBERNAMA

KLANG: Kerajaan bercadang mewartakan 2017 sebagai 'Tahun Melawat Klang' dalam usaha menjadikan bandar diraja itu sebagai destinasi pelancongan utama di Selangor, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata bandar itu mempunyai banyak monumen sejarah yang berpotensi dijadikan sebagai tarikan pelancongan selain penempatan nelayan di kawasan Pulau Ketam.

"Oleh itu, Klang perlu dipromosikan sebagai destinasi pelancongan di Selangor dan juga boleh promosikan 'Bak Kut Teh' yang berasal dari bandar diraja ini kerana banyak pelancong Cina datang ke sini untuk makanan tidak halal," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Aplikasi Telefon Pintar 'Discover Selangor' di lobi Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini Selasa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Elizabeth Wong dan Yang Dipertua MPK Datuk Mohd Yasid Bidin.

Mohamed Nazri turut bersetuju dengan cadangan MPK supaya kawasan bersejarah seperti Tugu Raja Mahadi dijadikan sebagai simbol pelancongan di Klang selain menaik taraf kawasan paya bakau di bandar itu.

Beliau juga mencadangkan supaya kawasan penempatan nelayan di Pulau Ketam dibangunkan sebagai 'homestay' atau inap desa selain menaik taraf infrastruktur seperti jeti di kawasan sekitar pulau itu.

Mohamed Nazri dalam pada itu melahirkan kekecewaan terhadap bilangan pelancong asing yang menginap di hotel-hotel di Selangor apabila hanya mencatatkan 764,000 orang selepas jatuh ke tangga ketujuh tahun lepas (2014).

"Ini mendukacitakan sebab kalau orang datang ke Semenanjung Malaysia, tempat pertama yang singgah adalah di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) yang terletak di Selangor. Adalah rugi sekiranya pelancong tidak melawat negeri ini. Kadang-kala pelancong memang ke Selangor namun hanya pada siang hari tetapi bermalam di Kuala Lumpur," katanya.

Terdahulu, Mohamed Nazri melancarkan Aplikasi Telefon Pintar 'Discover Selangor' yang memberi peluang kepada pengguna telefon pintar untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai tarikan pelancongan di negeri itu termasuk kemudahan penginapan dan pusat beli-belah.

Wong berkata sehingga kini, sebanyak 500 pengguna sudah mengguna pakai aplikasi itu dan dianggarkan 5,000 pengguna akan memuat turun aplikasi berkenaan menjelang Jun 2016.

Selain melakukan lawatan kerja ke MPK, Mohamed Nazri turut meninjau keadaan di kawasan Little India Klang dengan mengunjungi beberapa kedai sari dan mengakhiri lawatan dengan mengunjungi Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di sini. - BERNAMA

Mohamed Nazri Abdul Aziz, Klang, 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain