SEPANG: Usaha Malaysia membantu rakyat Syria yang terlibat dalam konflik peperangan bermula dengan ketibaan kumpulan pertama lapan orang daripada dua keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Selasa. Ketibaan mereka pada 4.50 petang dari Istanbul, Turki menerusi penerbangan Turkish Airlines itu disambut Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed serta dua anggota keluarga imigran itu yang telah bekerja di negara ini sejak 2012. Bercakap pada sidang media selepas itu, Nur Jazlan berkata ketibaan imigran dari wilayah Idlib itu adalah inisiatif dua anggota keluarga mereka iaitu Mohamed Ibrahim dan Ali Abdul Naser yang memohon secara peribadi kepada kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas yang melaksanakan urusan kemasukan rakyat Syria. "Untuk imigran yang memiliki pasport ini, kerajaan akan memberikan pas lawatan sementara sebagai perlindungan kepada mereka sehingga proses dokumentasi selanjutnya dilakukan. Langkah ini adalah sebagai mengotakan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu kepada penyelesaian masalah rakyat negara itu yang sedang berada dalam situasi bergolak," katanya. Pada Oktober lepas, perdana menteri pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu mengumumkan Malaysia akan membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian. Menurut Najib negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah. Selain mengharapkan lebih banyak rakyat Syria yang berada di sini membuat permohonan bagi membawa masuk keluarga masing-masing, Nur Jazlan berkata kerajaan menerusi Pasukan Petugas Khas yang diketuai kementerian itu juga sedia meneliti permohonan yang dibuat melalui badan-badan bukan kerajaan serta kedutaan Malaysia di negara-negara bersebelahan dengan Syria. "Bagaimanapun dalam hal ini, kita perlu berhati-hati kerana selain masalah birokrasi aspek sekuriti juga perlu diberi perhatian khusus," katanya. Nur Jazlan turut menegaskan kemasukan kesemua imigran ini dibenarkan selepas mempertimbangkan kemampuan Mohamed dan Ali yang telah lama bekerja di sini menyediakan tempat tinggal segala perbelanjaan keluarga mereka selama berada di sini. Sementara itu, seorang daripada imigran yang baharu tiba Hosam, 24, iaitu adik kepada Mohamed, 29, berkata beliau dan tiga lagi saudaranya terpaksa tinggal di dalam sebuah bilik di dalam rumah mereka musnah ekoran konflik yang melanda. "Saya amat bersyukur dan gembira kerana akhirnya selamat sampai di sini," katanya yang diterjemahkan Mohamed. Dalam pada itu, Ali, 30, yang menyifatkan Malaysia sebagai rumah keduanya ketika ini turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana meluluskan permintaanya bagi membawa empat anggota keluarganya hanya dalam tempoh sebulan selepas permohonan dibuat. "Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memudahkan permohonan saya ini...begitu juga kepada rakyat negara ini yang cukup prihatin, katanya yang bekerja sebagai pendandan rambut. - BERNAMA