suria

Abu Zahar Nafi Terlibat Petisyen Tolak Undang-Undang MKN

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menafikan satu petisyen yang tersebar di media sosial yang mengaitkan namanya menolak Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015.

Beliau berkata petisyen itu dilapor dibuat untuk menolak RUU MKN 2015 yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan rakyat negara ini dan khususnya sokongan anggota Dewan Negara termasuk dirinya selaku Yang Dipertua Dewan Negara.

"Dalam petisyen itu, disebut nama saya, Tan Sri Abu Zahar 'summarily reject' (bersetuju menolak) RUU MKN 2015. Perkara ini tidak patut berlaku kerana persidangan sedang berjalan.

"RUU ini masih belum dibahaskan (secara sepenuhnya)...Petisyen tersebut menjejaskan kredibiliti Yang Dipertua Dewan Negara dan anggota Dewan Negara keseluruhannya sebagai suatu institusi perundangan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang di Malaysia," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Rabu.

Beliau berkata petisyen itu yang dibuat melalui laman portal dan tajuk petisyen yang terdapat di laman portal tersebut seolah-olah menggambarkan semua anggota Dewan Negara bersetuju dengan petisyen yang dicadangkan.

Abu Zahar kemudian meminta pihak yang bertanggungjawab membuat siasatan ke atas fitnah yang dilemparkan itu, yang menjejaskan kredibiliti dan integritinya.

RUU MKN 2015 dibentang di Dewan Rakyat 1 Dis lepas yang memperuntukkan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan bagi mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

MKN, Dewan Negara

Artikel Lain