suria

Kumpulan Pertama Pelarian Syria Bertemu Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu ini bertemu dengan kumpulan pertama lapan orang daripada dua keluarga imigran Syria yang tiba di negara ini semalam, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pertemuan selama 15 minit semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2015 itu turut disertai isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Wakil keluarga tersebut, Mohamed Ibrahim, 29, berkata mereka sangat menghargai keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap nasib rakyat Syria yang terlibat dalam konflik peperangan.

Katanya dalam pertemuan itu, Najib yang juga Presiden UMNO, menjanjikan kehidupan mereka di negara ini pastinya akan lebih baik, termasuk berpeluang menyambung pelajaran dan kesediaan kerajaan untuk memberi visa pekerja kepada mereka.

"Beliau (Najib) berkata mereka (kerajaan) akan memastikan kami selesa di sini, tidak berasa takut dan masa depan yang cerah menanti kami di sini," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Ketibaan keluarga terbabit pada 4.50 petang semalam dari Istanbul, Turki adalah hasil inisiatif Mohamed dan rakannya Ali Abdul Naser dengan memohon secara peribadi kepada kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas yang melaksanakan urusan kemasukan rakyat Syria itu.

Mohamed, yang tinggal di Malaysia sejak empat tahun lepas dan bekerja sebagai penggunting rambut di Bangsar di sini, berkata beliau amat bersyukur keluarganya dapat dibawa ke negara ini setelah kediaman mereka di Idlib musnah akibat peperangan.

"Saya menyukai Malaysia sebab penduduknya selalu tersenyum, mereka mempunyai hati yang bersih dan sering membantu satu sama lain," katanya, dan menambah, beliau gembira apabila Malaysia akan membuka pintunya kepada lebih banyak imigran Syria.

Pada Oktober lepas, Najib pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu mengumumkan Malaysia akan membuka pintunya kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Menurut perdana menteri negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir dan sejumlah besar daripada mereka melarikan diri dari negara itu sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi serta sosial di Eropah.

Syria, Turki

Artikel Berikut

Artikel Lain