KUALA LUMPUR: "Keluar daripada parti atau kembali bersatu," demikian amaran keras Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kepada barisan kepimpinannya. Tanpa menyebut nama pemimpin yang dimaksudkannya, Khairy berkata, Pemuda Umno tidak akan berdiam diri jika masalah dalaman membabitkan kepimpinan peringkat tertinggi Umno gagal diselesaikan segera. “Ketika ini ada sedikit keretakan di peringkat atasan parti dan keretakan ini boleh menyebabkan kehilangan keyakinan rakyat terhadap kita. “Sekiranya tak boleh (selesai) dan masih ada lagi usaha untuk menjahanamkan dan meruntuhkan institusi parti, maka Pemuda akan minta mereka yang terlibat dalam gerakan tersebut keluar dari parti,” katanya di sini. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno pada Rabu. Sementara itu, ditanya sama ada amaran berkenaan ditujukan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak atau timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khairy bagaimanapun enggan menamakannya. “Itu saya rasa semua di dalam dewan faham siapa yang saya maksudkan. Kita melihat dalam konteks institusi parti, dan sekarang ini mereka yang ingin meruntuhkan institusi parti, yang separuh kaki berada di dalam parti dan separuh kaki di luar parti, saya rasa mereka tahu siapa mereka,” katanya. Bagaimanapun menurut Khairy, beliau berharap masalah dalaman berkenaan berjaya diselesaikan dengan baik tanpa memburukkan imej parti kepada rakyat. "Sebab itu kita merayu kebijaksanaan pemimpin untuk cari titik pertemuan untuk meleraikan masalah yang dihadapi di peringkat kepimpinan. "Tapi buat masa ini kita minta supaya keadaan diselamatkan dan kembali sebagai sebuah parti yang bersatu di peringkat pucuk kepimpinan,” katanya. Ditanya sama ada beliau memberikan tempoh masa tertentu supaya isu berkenaan diselesaikan, Khairy berharap Perhimpunan Agung Umno 2015 yang akan bermula Khamis boleh menjadi platform terbaik. “Saya harap semangat kebersamaan ini dapat kita lihat pada perhimpunan parti induk pada esok hingga tulat (Sabtu). Saya harap dalam tempoh ini, semua dapat bermuhasabah dan buat satu pendirian untuk bersama dalam Umno. “Tapi sekiranya selepas perhimpunan ini masih ada bibit-bibit perpecahan, puntung-puntung yang boleh menjadi kebakaran yang besar untuk bakar hangus khemah besar Umno, saya rasa kita perlu ambil tindakan,” katanya.