suria

Puteri Sambut Muhyiddin Umpama Bapa - Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kunjungan Tan Sri Muhyiddin ketika perbahasan sayap itu sedang berlangsung disambut sebagai kunjungan ahli keluarga.

Katanya, Puteri Umno masih menghormati Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti dan sambutan gamat yang berikan kepadanya adalah perkara biasa.

“Macam keluarga, macam bapa kita out-station lama sangat dan kita lama tak jumpa. Seronoklah, itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyampaikan ucapan penggulungan perhimpunan Agung Puteri Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sambutan gamat yang diberikan perwakilan Puteri sebaik sahaja Muhyiddin dan isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal melawat sesi perbahasan sayap parti itu.

Katanya, sebagai Timbalan Presiden, Puteri menghormati apa jua pandangan Muhyiddin sambil menyatakan harapan apa jua kemelut yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik demi kelangsungan parti.

“Kita hormat dan sayang kepada Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden, sebab itu apa juga yang berlaku saya harap kemelut ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Umno perlu kuat dan terus ke hadapan,” katanya.

Bagaimanapun ketika diminta mengulas mengenai permintaan spontan Pengerusi Tetap Puteri Umno Azlieza Azizan supaya Muhyiddin ‘menjaga Puteri’, Mas Ermieyati enggan mengulas lanjut kerana beliau tidak mendengarnya.

“Saya tak dengar, saya tak nak komen tu, saya tak perasan. Minta maaf saya tak nak jawab,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan penggulungannya, Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan itu sempat memberikan beberapa amanat kepada perwakilan.

Beliau, antara lain menyentuh tentang pentingnya solidariti bersama pemimpin dan tidak menjatuhkan antara satu sama lain.

Namun, ketika ditanya sama ada gesaannya itu mempunyai kaitan dengan krisis kepimpinan yang berlaku pada masa ini, beliau menafikannya.

“Tidak, ucapan saya itu adalah apa yang berlaku dalam kehidupan dan politik semasa di mana juga, peringkat cawangan, bahagian, dari akar umbi hingga ke Pusat, sama sahaja.

“Saya tak mahu ada politik kebencian, saya nak menyuburkan politik positif di kalangan Puteri dan ahli muda Umno. Ada banyak perkara positif dalam Umno, bukan negatif saja,” katanya.



Artikel Lain