PETALING JAYA: Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin meminta semua perwakilan dari negeri itu supaya menjaga adab dan sopan sepanjang persidangan ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno yang akan bermula Khamis hingga Sabtu. Katanya, jangan sekali-kali melakukan tindakan yang mengikut emosi yang akan merosakkan nama baik parti. "Saya menyeru semua perwakilan dari Johor agar mengutamakan disiplin dan mempamerkan tata susila yang disenangi semasa berlangsungnya perhimpunan. "Hormatilah pemimpin kita selayaknya. Bantu dan nasihatilah barisan kepimpinan kita dengan peringatan dan pandangan yang ikhlas, muktabar dan kefasihan yang memecah kebuntuan," katanya yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau meminta supaya para perwakilan mengutarakan pandangan dengan cara yang paling sopan tetapi tegas. "Luahkan segala yang terbuku dengan adab yang paling terpuji dengan hanya satu tujuan iaitu untuk memastikan parti menjadi lebih kuat dan kembali diyakini tanpa perlu berpecah tanpa perlu menimbulkan pergeseran yang memusnahkan," ujarnya lagi. Perhimpunan ini juga tegas Khaled perlu menjadi wadah untuk mengajak semua pihak menerokai denai penyelesaian yang inklusif dan terbaik kepada segala kemelut yang dihadapi oleh bangsa Melayu. Secara tradisinya, kata beliau, Umno Johor adalah pendukung gerakan yang progresif dan sederhana. "Kita telah sekian lama memainkan peranan membina dan mengukuhkan parti melalui pemikiran dan manhaj yang berkemajuan. Marilah kita dengan cara paling berhikmah dan berhemah mengajak semua pihak mencari jalan muafakat untuk Umno yang lebih baik dan berpadu iaitu Umno yang kembali kepada agenda Melayu," tegasnya. Tambah beliau lagi, setiap perhimpunan agung adalah peluang kita untuk mencari pencerahan bagi mengukuhkan Umno. "Marilah kita berdoa agar Allah menunjukkan jalan paling benar, paling baik dan paling diredhaiNya kerana sesungguhnya segala usaha yang baik dalam kita mencari pencerahan ini tidak akan berhasil tanpa pertolongan daripada Allah," kata Khaled.