KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memberi kata dua kepada kerajaan supaya menghentikan sebarang keputusan yang membebankan ekonomi rakyat. Amaran keras itu dinyatakan Khairy ketika rakyat terus dihimpit tekanan ekonomi termasuk yang terbaharu membabitkan kenaikan tambang ERL, LRT, Komuter dan Monorel. "Umum tahu 2015 merupakan tahun yang mengejutkan rakyat dengan pelbagai kenaikan. Satu demi satu harga dan tambang meningkat. Beban tanggungan rakyat turut meningkat. "Walaupun kita faham beberapa langkah pedih terpaksa diambil tetapi hakikatnya, rakyat sudah tidak boleh terima lagi dan sudah sampai ke breaking point. Jadi cukup-cukuplah. "Jangan ditambah lagi bebanan rakyat. Jangan dicurah lagi minyak ke atas api kemarahan rakyat yang marak membara. Pemuda mahu Kerajaan hentikan segala kenaikan selepas ini. Enough is enough," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2015 di sini, Rabu. Selain itu menurut Khairy, beliau memberi tempoh selama dua tahun kepada kerajaan untuk membuktikan manfaat daripada tindakan yang diambil membabitkan beberapa kenaikan. "Dua tahun akan datang ini, oleh kerana kita sudah membuat segala penjimatan melalui GST, pemotongan subsidi, kenaikan tarif, tambang, tol dan sebagainya, Pemuda hanya mahu mendengar berita yang baik-baik dan menyenangkan rakyat sahaja. "Inilah masanya kita gunakan segala penjimatan yang dikatakan kita perolehi daripada segala langkah pedih ini, untuk menggembirakan rakyat. Tunjukkan bahawa langkah penjimatan selama ini boleh membawa kebaikan pada mereka," katanya. Tambah Khairy lagi, Pemuda Umno berharap kerajaan dapat menyediakan diskaun khusus untuk golongan muda yang menggunakan pengangkutan awam. Katanya, kerajaan boleh mengambil contoh pendekatan yang digunakan di negara luar dengan memberikan diskaun pengangkutan awam kepada orang muda sama seperti yang dinikmati warga emas. "Selama ini bila tol naik, kita minta anak muda guna pengangkutan awam. Tapi sekarang, lepas kita naikkan harga tol, tambang komuter, tambang ERL, segala-gala tambang pun naik juga. Apa lagi pilihan yang ada pada rakyat, nak suruh mereka jalan kaki? "Saya tengok kesan kenaikan tambang Komuter contohnya, begitu membebankan. Buatlah diskaun untuk belia bagi pengangkutan awam. Jangan harga dinaikkan semata-mata, tanpa langsung memikirkan langkah-langkah yang boleh meringankan beban tambahan ini," katanya.