suria

Kerajaan Sedang Meraikan 'Musim Menaikkan Tambang' - Puteri Umno

KUALA LUMPUR: Puteri Umno yang sebelum ini dianggap sayap paling ‘lembut’ dan kurang menyerlah berbanding Pemuda dan Wanita kali ini tampil lebih tegas dalam menyuarakan pandangan dan gesaannya terhadap kerajaan.

Situasi ini dapat dilihat menerusi ucapan dasar ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang disampaikan dengan lebih tegas, berani dan penuh semangat ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015, Rabu.

Ketegasannya yang paling ketara dapat dilihat ketika beliau berucap mengenai tajuk ‘mendepani cabaran masa kini’.

Tanpa berselindung, beliau terpaksa mengakui bahawa golongan muda kini berada dalam keadaan gelisah dan tertekan kerana kos sara hidup yang meningkat dan kadar pengangguran membimbangkan.

"Warga kota kini amat terkesan dengan ketidakstabilan ekonomi yang ketara.

"Puteri melihat perkara utama yang mempengaruhi kos kehidupan wanita muda adalah pendapatan bulanan yang tidak seimbang dengan keperluan kos sara hidup yang merangkumi kos pengangkutan dan tempat tinggal serta keperluan untuk menyimpan untuk masa depan," katanya, di sini, Rabu.

Dalam hal ini beliau mengambil contoh kenaikan tambang pengangkutan awam mendadak dan berturut-turut yang membebankan pengguna yang disifatkannya sebagai satu ‘musim meraikan tambang’.

"Kadar tambang yang bagaikan sedang meraikan musim kenaikan harga memberi kesan yang sangat mendalam kepada orang muda.

"Kami mendesak pihak kerajaan melalui SPAD mengkaji semula dan merasionalisasikan kenaikan harga pengangkutan awam yang membebankan pengguna melalui kenaikan tambang LRT serta ERL yang mendadak serta pengenalan tambang yang agak tinggi bagi perkhidmatan baru iaitu Bus Rapid Transit (BRT)," katanya.

Mengenai isu pemilikan rumah, beliau juga mengakui wujudnya keluhan daripada akar umbi.

Isu perumahan, ada keluhan akar umbi yang mengatakan, “rumah yang dibina hari ini bukannya rumah yang mampu milik, tetapi rumah yang mampu tengok”,” katanya.

Namun ‘suara’ tegasnya mengenai isu ini hanya mampu dijawab dengan kata-kata: “Berfikir diluar kotak, berenang dilautan biru” agar cabaran ini dapat kita ubah menjadi peluang untuk memperkasakan perkhidmatan demi untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan beberapa perkara seperti pemerkasaan program Kedai Rakyat 1 Malaysia, kaunseling pekerjaan seawal peringkat sekolah menegah dan menaik taraf dan memperkasakan sistem Pendidikan Teknikal dan Vokasional.

Puteri Umno, SPAD

Artikel Lain