KUALA LUMPUR: Nama blogger seks, Alvin Tan tidak hanya viral di media sosial tetapi juga telah merebak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Namanya disebut oleh pembahas Puteri Armizadonna Wirdawati Mohd Radzi yang menggesa supaya kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang semakin berani mempertikaikan hal-hal berkaitan agama. "Kami menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Alvin Tan, Tan Jye Yee dan Vivian Lee yang kerap kali menghina Islam yang merupakan agama rasmi di Malaysia. Apabila didapati oleh khalayak bahawa penguatkuasaan tegas dan pesalah segera dihadapkan di mahkamah maka lama-lama satu pengajaran timbul," katanya ketika membahaskan usul agama di PWTC di sini, Rabu. Beliau yang juga naib ketua Puteri Umno Bahagian Kangar berkata lewat bertindak atau kerajaan ‘sentiasa tidak cukup dengan pembuktian’, lama-kelamaan akan membuatkan masyarakat berasa undang-undang agama di Malaysia adalah bebas dan longgar. "Mempersendakan bulan Ramadan dan menyatakan hobi membaca al-Quran dalam tandas, merupakan penghinaan terbesar dan umat Islam tak boleh berdiam diri lagi. "Sampai bila kita nak diam orang macam si durjana ini hina agama kita? Itu peragai tak ada adab, agama lain perlu hormati agama Islam dan dalam Islam sendiri pun melarang kita hina agama lain," katanya. Dalam pada itu beliau turut menyentuh tentang generasi muda yang dilihat cenderung memahami agama melalui media sosial berbanding merujuk kepada ulama atau hadir kelas agama. Katanya dalam zaman ini, teknologi dijadikan medan oleh pihak tertentu untuk menyebarkan fahaman secara halus dan mengelirukan umat Islam.