KUALA LUMPUR: Laluan Khas Usahawan Wanita hendaklah diwujudkan di semua bank dan institusi kewangan di negara ini sebagai kemudahan kepada mereka berurusan dan memajukan diri sebagai usahawan. Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mencadangkan perkara itu, berkata selain membantu menguruskan pinjaman, kemudahan itu juga dapat memperkukuhkan ekosistem ekonomi untuk usahawan wanita di seluruh negara. "Saya mencadangkan Gabenor Bank Negara (Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz) yang juga seorang wanita, meneliti dan menambah baik polisi kewangan untuk wanita terutamanya dalam bidang keusahawanan dengan mewujudkan Laluan Khas Usahawan Wanita di semua bank dan institusi kewangan," katanya. Shahrizat memberi cadangan itu semasa menyampaikan ucapan dasar, sekali gus merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu. Shahrizat yang juga Penasihat Pembangunan Keusahawan dan Ikhtisas Wanita (KIW) di Jabatan Perdana Menteri, berkata golongan wanita masih memerlukan khidmat nasihat dan dorongan bagi meningkatkan keyakinan diri walaupun mereka mempunyai bakat dan potensi.