KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan beliau akan kekal memimpin Umno dan meminta seluruh anggota parti bersatu membentuk sebuah pasukan padu bagi menyempurnakan perjuangan parti untuk orang Melayu dan untuk Malaysia. Dalam ucapan "dari hati ke hati" yang berani pada Perhimpunan Agung Umno 2015 di sini, Presiden Umno dan Perdana Menteri mengingatkan anggota Umno tentang kepentingan mempunyai pasukan yang taat dan setia kepada barisan kepimpinan untuk melayari ujian pada masa yang tenang dan getir. Kepada para pengkritik dalam parti, Najib menegaskan bahawa beliau bersikap budiman dan tidak berkonfrontasi dan bersedia duduk berbincang menyelesaikan kekusutan melalui saluran yang betul, kerana "saya juga manusia seperti saudara dan saudari semua, masing-masing punyai kelebihan dan kekurangan". "Saya,... Najib Razak, mahukan terdiri dan terbangunnya sepasukan wanita, pemuda dan puteri yang taat lagi setia,... BANTULAH SAYA ... memacu Malaysia menuju puncak hingga ke mercunya," katanya disambut tepukan bergemuruh seisi dewan. "Biar mati berkalang tanah, perjuangan Umno tidak akan dibiarkan musnah. Gantungkanlah azam dan semangat yang tinggi, ... setinggi bintang di langit, biarpun ada yang berpaling tadah, ... biar berkali-kali kita ditolak supaya rebah, ... tidak akan ada yang berundur, tiada yang tunduk,..tidak berundur!!! tidak tunduk!!!," katanya. Ucapan Dasar Presiden Umno itu, yang amat dinanti-nantikan oleh warga Umno dan seluruh rakyat Malaysia itu berlangsung dalam suasana penuh bersemangat di tengah-tengah lautan baju merah yang mewarnai Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di sini. Perwakilan dan tetamu di Dewan Merdeka turut bangun memberi 'standing ovation' (tepukan bergemuruh) apabila Najib menegaskan beliau tidak akan sekali-kali menyerah kalah meskipun menerima tentang hebat dan berhadapan dengan cabaran yang menggunung. Perwakilan turut memberi standing ovation di akhir ucapannya. Perhimpunan agung itu turut dihadiri Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahtahir Mohamad, yang sejak kebelakangan ini sering mengkritik Najib. Dalam nada yang bersemangat di awal ucapannya, Najib turut mengingatkan seluruh anggota Umno bahawa perhimpunan agung parti itu berlangsung di rumah Umno di sini dan bahawa mereka bukan sekadar sebahagian daripada Umno, tetapi mereka adalah Umno. "Kitalah tiang serinya, lantai dan dindingnya, jenang dan jendelanya, atap genting dan atap rumbianya, pasak dan tunjangnya, saling bergabung, lengkap melengkapi, yang akan terus mengibar megah sang saka bangsa, panji keramat kepada parti yang berdaulat ini," katanya. Mengingatkan para perwakilan tentang cogan kata "Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat", Presiden Umno itu meminta mereka mempertahankan parti milik orang Melayu itu secara bersama. Sungguhpun berucap di pentas Umno yang berjuang untuk orang Melayu dan Bumiputera, Najib menegaskan bahawa beliau juga adalah Perdana Menteri bagi masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama. Katanya, peranan kepimpinan parti dan kerajaan merangkumi semua lapisan rakyat di negara ini dan tentunya orang Melayu dan Bumiputera juga.