KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak boleh menyerah kalah terhadap asakan dan cabaran yang menimpanya susulan pelbagai dakwaan yang timbul membabitkan kepimpinannya. Penegasan itu dinyatakan Najib ketika wujud desakan daripada pelbagai pihak supaya beliau berundur sebagai orang nombor satu dalam kerajaan dan Presiden Umno. “Biar menggunung cabaran menghalang, meski hebat apapun tantangan yang tiba, saya tidak boleh sesekali menyerah kalah, bahkan dengan beraninya harus berdepan bagi merungkaikan masalah dan menyelesaikannya untuk terus memimpin Umno mara menuju kemenangan. "Pujangga ada berpesan, hidup ini tidak pernah pun menjanjikan yang senang-senang saja. Apabila berdepan dengan masalah, kita tidak boleh sekali-kali lari daripadanya. Itulah prinsip saya,” katanya pada Khamis. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2015 di sini. Sejak akhir-akhir ini Najib dikaitkan dengan pelbagai dakwaan termasuk membabitkan krisis ekonomi yang dihadapi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu dana politik berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akuan peribadinya. Selain itu Najib menggesa supaya pihak yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya supaya tampil bersemuka menggunakan saluran yang betul. "Pada hemat saya, kepimpinan itu bukan soal kebongkakan menongkat langit, bukan juga mengumpul orang di sana sini untuk mengata dan menuduh sesuka hati. “Ya betul, memang benar saya seorang presiden dan pemimpin, akan tetapi saya juga manusia seperti saudara dan saudari semua. Masing-masing punyai kelebihan dan kekurangan. "Tetapi bagi saya, I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul,” katanya.