MARANG: Dua beranak dijumpai lemas ketika mencari remis di Pantai Pulau Kerengga, di sini Jumaat. Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Bomba Negeri Azmi Omar berkata mayat Mariam Jusoh, 42, dijumpai pada 11.10 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi anak lelakinya Mohamad Arshad Mohd Bazi, 9, dilaporkan hilang. Mayat Mohamad Arshad dijumpai pada 1.50 tengah hari. Azmi berkata dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, dua beranak berkenaan pergi ke pantai berkenaan bagi mencari remis bersama ahli keluarganya yang lain. "Bagaimanapun ketika sedang leka mengutip remis, kedua-dua mereka ditarik ombak besar yang datang secara tiba-tiba sebelum lemas," katanya kepada Bernama. Menurut Azmi, tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera dikejarkan kelokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 10.16 pagi. Mayat kedua-dua beranak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk dibedah siasat.