PUTRAJAYA: Empat penerbangan yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa dilencongkan ke dua destinasi lain berikutan cuaca buruk Ahad. Selain itu, 12 penerbangan ketibaan dan tujuh penerbangan pelepasan ditunda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Jurucakap Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) berkata dua penerbangan yang sepatutnya mendarat di KLIA dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan dua lagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor. "Selain itu, satu lagi penerbangan dari Pulau Pinang terpaksa berpatah balik," katanya ketika dihubungi Bernama. Bagaimanapun, jurucakap itu berkata beliau tiada maklumat mengenai penerbangan yang ditunda di klia2.