suria

Wanita Maut Kereta Dipandu Suami Langgar Pikap

SEREMBAN: Seorang wanita maut dalam kemalangan apabila kereta yang dipandu suaminya melanggar sebuah kenderaan pikap di Jalan  Seremban-Kuala Pilah, malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata mangsa Zamzurina Zainuddin, 46, maut di tempat kejadian manakala suami dan tiga anaknya mengalami kecederaan di kepala.

"Kemalangan berlaku pada 9.50 malam, apabila Toyota Hilux dipandu Marzan Muhamad Mustapha, 35, yang sedang dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Pilah terlanggar lopak air lalu berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

"Suami mangsa, Wan Razali Wan Hashim, 48, yang sedang memandu dari arah Kuala Pilah ke Seremban, tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang Toyota Hilux tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Muhamad Zaki berkata ketika kejadian, keadaan jalan dengan bentuk permukaan lurus dan menuruni bukit itu sedikit basah akibat hujan.

Marzan yang mengalami kecederaan di kepala dan sakit pinggang dihantar ke Hospital Salam di Nilai, manakala Wan Razali dan tiga anaknya di hantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. - BERNAMA

kemalangan

Artikel Lain